KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025, yang diluluskan Dewan Rakyat kelmarin membuktikan komitmen untuk melakukan reformasi institusi boleh dilaksanakan jika ada kemahuan politik.
-Advertisement-
Pakar undang-undang, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata cadangan untuk mengadakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen bukan baharu, namun akhirnya ia direalisasikan di bawah Kerajaan MADANI.
Justeru, beliau berharap kerajaan akan terus melaksanakan reformasi yang dijanjikan, termasuk membabitkan pendanaan politik.
“Saya masih berharap kepada reformasi dana parti politik. Nampak seperti sukar kerana tiada kemahuan politik dan keberanian semua parti politik.
“Kerajaan MADANI perlu menerajui perkara ini,” katanya kepada BH, hari ini.
Kelmarin, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025, secara sebulat suara, selepas 33 tahun Akta Perkhidmatan Parlimen dimansuhkan.
RUU berkenaan bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan perkhidmatan Parlimen dan Majlis Perkhidmatan Parlimen serta pentadbiran perkhidmatan Parlimen dan perkara berkaitan.
-Advertisement-
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan RUU itu akan terus memperkasa Parlimen sebagai mercu tanda kebebasan bersuara Ahli Parlimen dan membuktikan kematangan proses demokrasi di Malaysia, yang dilaksanakan oleh pentadbiran Kerajaan MADANI.
Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal, berkata adalah penting untuk memastikan Parlimen benar-benar bebas daripada pengaruh badan eksekutif dan dalam menentukan perbelanjaan tahunannya.
Ketika ini, kakitangan dan perkhidmatan Parlimen tertakluk kepada dasar serta peruntukan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Justeru, RUU ini penting untuk Parlimen menentukan hala tuju mereka. Reformasi ini juga penting kerana kita sudah melangkah ke alaf, di mana Parlimen nampak benar-benar bebas daripada pengaruh eksekutif.
“Parlimen dapat bergerak ke depan tanpa keraguan dan kekangan kewangan serta bebas daripada telunjuk birokrasi kerajaan,” katanya.
-BeritaHarian