Rekaan seni bina hilang identiti

Estimate Reading Time: 4 minutes

SESETENGAH bangunan mahupun menara pencakar langit dibangunkan di negara ini memiliki keindahan seni bina unik, hingga terbit rasa kagum melihat kreativiti karya anak tempatan.

-Advertisement-

Namun, dek kerana kreativiti arkitek melangkau jangkauan di luar kotak, ada sesetengah bangunan dibina sangat moden dengan menyuntik sedikit ciri kebaratan dan lain-lain negara luar, hingga mencetuskan kebimbangan arkitek tempatan.

Apa tidaknya, sebaik sahaja melihat bangunan dibina itu, perkataan yang terpacul di mulut adalah menyamakan seni bina itu dengan beberapa ciptaan yang pernah dilihat di luar negara. Ia sekali gus membuatkan pengunjung terlupa mereka masih di tanah air sendiri.
Kegusaran itu dirasai Ketua Pegawai Eksekutif ATSA Architects, Azim A Aziz, yang bimbang identiti seni bina di negara ini semakin ditelan zaman dan berkemungkinan pupus sekali gus menjadi asing kepada generasi akan datang.

Katanya, Malaysia mempunyai banyak identiti boleh diketengahkan, namun selepas Kesultanan Melaka identiti itu semakin ditinggalkan terutama apabila negara ini dijajah selama ratusan tahun.

“Jadi sedikit demi sedikit identiti seni bina kita ditinggalkan serta identiti negara luar mula mengambil alih pada bangunan yang kita bina. Sesetengah arkitek itu memang bagus dan mempunyai watak tersendiri, namun kita perlu akui bahawa untuk mendapatkan satu identiti tanpa mempunyai pengaruh daripada British amat sukar.

“Ada sesetengah berjaya mendapatkan identiti itu dan sesetengahnya menemui jalan buntu. Atas sebab itu kita di ATSA Architects anjurkan pameran ‘Identiti Kekal’ (Perpetual Identity) ini supaya dapat menghidupkan kembali identiti arkitek di negara ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pameran dianjurkan itu mendapat kerjasama Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hidupkan kembali seni bina negara

Azim berkata, pameran itu bukan kali pertama diadakan untuk menyedarkan golongan belia yang berminat memasuki bidang arkitek mengenai identiti seni bina.

Mengikut perkiraan pameran sebegitu sudah dianjurkan lebih tiga kali selepas negara ini mencapai kemerdekaan, pada tahun 80an dan terkini yang dianjurkan di UPM.

Namun, penganjuran sebelum ini dilihat masih tidak dapat membantu meningkatkan kreativiti arkitek dalam seni bina mereka.

“Kerajaan mahu cuba hidupkan kembali identiti seni bina di negara ini, pada hemat saya ini penganjuran kali ketiga bagi mencapai objektif sama. Namun, pada arkitek hasrat itu tidak berapa mencapai dengan identiti dikehendaki.

“Disebabkan itu, kita buat kelainan dan bukannya menyalin semula tradisi sedia ada sebaliknya meletakkan ciri seni bina tradisional itu pada bangunan.

“Jadi selepas kita mencapai kemerdekaan yang ke 66 tahun, kita mahu cuba dapatkan satu identiti yang tidak lagi dipengaruhi oleh British, kita mahu identiti tempatan dalam karya dihasilkan,” katanya.

Azim berkata, kebanyakan identiti itu sukar untuk dicapai kerana beberapa faktor termasuk cara pemikiran serta pengaruh tempat tinggal seseorang itu.

-Advertisement-

“Generasi ibu bapa kita dengan remaja zaman ini masing-masing mempunyai pandangan berbeza. Jadi cara untuk kita mendapatkan identiti pada masa depan juga akan lain.

“Kalau dulu untuk membina sebuah rumah mengambil masa empat hingga lima tahun, ia akan ditambah baik sedikit demi sedikit. Kebanyakan rumah kampung mempunyai halaman besar, ada taman, kebun buah buahan serta mungkin berdekatan dengan sungai,” katanya.

Seni bina sekarang berbeza

Berbeza dengan kehidupan zaman sekarang, duduk di tengah bandar yang maju serta menetap di apartmen. Sudah tentu identiti atau cara hidup di kedua-dua ini akan menghasilkan pemikiran yang berbeza.

“Dulu rumah pelbagai bentuk, ada rumah Perak, Johor, Melaka dan pelbagai lagi. Namun kini pembinaan rumah seakan-akan sama terutamanya mereka yang menetap di apartmen. Jadi ia akan mempengaruhi identiti seseorang, kerana kita luahkan mengikut cara hidup masing-masing,” katanya.

Menurutnya, proses mencari identiti seni bina itu juga menjadi satu cabaran besar kerana tidak semua dapat menerima karya dihasilkan oleh seseorang arkitek.

“Kita perlu lihat pada persepsi orang, sama ada mereka terima atau pun tidak cadangan yang dikemukakan. Kadang-kadang orang tidak terima kerana katanya konsep sebegitu tidak sesuai pada masa depan. Banyak perkara perlu dilihat sebelum kita ke peringkat seterusnya,” katanya.

Namun Azim menegaskan, walaupun mahu melihat identiti seni bina tempatan dikekalkan, bangunan lama yang mempunyai sejarah tersendiri juga perlu dipelihara.

“Janganlah runtuhkan bangunan sedia ada, yang mana kita boleh selamatkan, kita perlu selamatkan. Untuk apa kita bina bangunan baru dengan identiti baharu tetapi identiti lama kita buang. Agak janggal bila melihat kita cipta satu identiti baharu namun ia nampak seperti bangunan lama.

“Sebaliknya pelihara bangunan lama itu dan cipta identiti baharu. Apa dilakukan kini adalah identiti pembuatan, kita cipta identiti itu kerana pada zaman dahulu identiti mereka itu diperoleh daripada cara hidup, bukannya dapat serta-merta. Kita kini semuanya mahu cepat,” katanya.

Sementara itu, sekumpulan arkitek tempatan menggesa kerajaan memberi peluang kepada mereka menerajui projek besar bagi mempromosikan seni budaya dan identiti Malaysia dengan unsur tempatan dalam rekaan.

Arkitek dan Pengasas Hajeedar And Associates Sdn, Datuk Ar Hajeedar Abdul Majid, kecewa apabila ada projek seni bina tempatan diberi kepada arkitek luar negara dengan ada projek mencecah RM2 billion.

Isu ini sudah dibangkitkan sejak tahun 70-an selepas negara mencapai kemerdekaan.

“Selepas merdeka, kita sedar identiti negara kita perlu dicipta, diserlahkan dan diperkenalkan dengan lebih luas.

“Macam mana nak perkenal atau bawa identiti seni bina negara berdasarkan keunikan negara kita jika projek seni bina diberikan kepada warga asing? katanya.

Hajeedar berkata, negara asalnya daripada kelompok Melayu Nusantara, namun menerima pengaruh yang datangnya dari negara seperti India, China dan Asia Barat.

“Ini menyumbang ke arah nilai, adat dan adab penduduk di negara ini termasuk rekaan dan bidang seni bina.

“Selepas 66 tahun mencapai kemerdekaan kita masih mencari identiti dan keunikan yang eksklusif untuk ditonjolkan dalam seni bina tempatan.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kami sebagai golongan profesional dan tenaga pengajar mendidik masyarakat dan penduduk tempatan untuk menyedari kita punya jiwa dan kekayaan seni kreatif dalam bidang ini,” katanya.

Pusat beli-belah dibina arkitek asing

Beberapa pusat beli-belah dan bangunan terkemuka di negara kita direka dan dibina oleh arkitek luar negara dan bukan arkitek tempatan.

“Bagaimana kita nak serlahkan keunikan seni bina jika ia diterajui orang luar?

“Seni bina sekarang mengalami kemerosotan sebab kita tidak mempunyai identiti. Ramai yang tanya, mana identiti Malaysia. Kita individu mahir dan kreatif,” katanya.

Berdasarkan kajian, beberapa bilion ringgit habis untuk membayar perunding daripada luar negara.

“Kita ada banyak projek, kalau ditanya mengenai identiti, ia perlu bermula daripada rumah kita sendiri iaitu orang tempatan daripada negara ini.

“Kita mahukan yang kreatif daripada minda arkitek tempatan untuk wujudkan seni bina memiliki identiti Malaysia.

“Di kawasan Putrajaya, dapat lihat 90 peratus bangunan seni bina dihasilkan oleh orang tempatan, namun di sekitar ibu kota, banyaknya hasil tangan orang luar yang tidak tahu menahu identiti kita,” katanya.
-BeritaHarian