SINGAPURA: Apabila malam menyelubungi Singapura, sekumpulan kecil relawan memulakan tugas mereka.
Kira-kira seminggu sekali, para pendamping (befrienders) daripada Homeless Hearts of Singapore akan melakukan rondaan di sekitar pulau ini, untuk mendekati para individu yang tidur di jalanan dan sering diabaikan.
-Advertisement-
-Advertisement-
Para relawan berkata naratif yang dipermudahkan sering mengabaikan sebab-sebab kompleks yang mendorong seseorang ke jalanan, selain menjejaskan usaha jangka panjang untuk membina kepercayaan dengan masyarakat tersebut.
Menurut ketua relawan dan penyelaras khidmat jangkauan kumpulan itu, Derek Lim, tidur di jalanan sering kali berpunca daripada masalah keluarga atau hubungan.
“Mereka berkongsi bahawa mereka berasa sunyi dan dengan mendekati mereka, kami mewujudkan satu sumber sokongan, yang hadir dalam bentuk persahabatan dan sokongan emosi,” kata beliau.
Namun, usaha mendekati mereka tidak sentiasa mudah.
Encik Lim berkata golongan lebih muda yang tidur di luar lebih sukar dikesan kerana mereka kerap berpindah antara penginapan sementara seperti rumah rakan atau asrama.
Individu yang lebih berusia mungkin lebih mudah untuk dikenal pasti, namun membantu mereka masih memerlukan masa sekiranya mereka belum bersedia untuk menerima bantuan.
“Jika mereka belum bersedia untuk menerima bantuan, kami tidak akan memaksa, jadi kami akan terus mendekati mereka dan menemani perjalanan mereka, yang mungkin mengambil masa yang lama,” kata Encik Lim.
“Tetapi itu juga tidak mengapa, kerana pada akhirnya, ia tentang persahabatan, tentang menerima mereka seadanya pada ketika ini.”
Sesi untuk mendekati mereka itu selalunya berlanjutan hingga ke awal pagi.
Para relawan akan kembali ke lokasi-lokasi yang dikenal pasti dan sentiasa memerhatikan kehadiran individu baharu yang tidur di jalanan, sambil menawarkan sokongan yang merangkumi isyarat kecil seperti sepotong kek untuk meraikan hari lahir, hinggalah bantuan lebih khusus seperti sokongan kewangan atau pekerjaan.
MENJAGA MARUAH
Seorang individu yang tidur di jalanan, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Tan, berkata beliau meninggalkan rumah hampir dua tahun lalu.
“Saya sering bergaduh dengan isteri saya, kemudian dia mengugut mahu menceraikan saya, jadi saya mula tidur di bawah,” kata beliau dalam bahasa Mandarin.
Seorang lagi, yang menggunakan nama samaran Lucas, kehilangan rumah keluarganya semasa pandemik COVID-19.