Remaja ditahan sebar ekstremisme dalam talian di Sulawesi

Estimate Reading Time: 2 minutes

JAKARTA: Unit anti pengganas elit Indonesia, Densus 88, menahan seorang remaja berusia 18 tahun di wilayah Sulawesi Selatan kerana disyaki menyebarkan propaganda ekstremis dan menghasut keganasan dalam talian.

-Advertisement-

Suspek, seorang remaja tempatan yang hanya dikenali dengan huruf awalan MAS, ditahan pada 24 Mei sekitar 5.20 petang waktu tempatan di Kabupaten Gowa, menurut Pejabat Penerangan dan Dokumentasi Densus 88.
Penolong Pesuruhjaya, Mayndra Eka Wardhana, dalam satu kenyataan, berkata MAS didapati aktif dalam talian komunikasi digital yang menyebarkan kandungan berkaitan ideologi IS.
“Antaranya termasuk gesaan untuk melakukan pengeboman di tempat ibadat. Remaja terbabit didakwa mengendalikan kumpulan WhatsApp bernama ‘Daulah Islamiah’ sejak Disember 2024.

“Menerusi platform ini, dia berkongsi imej, video, rakaman suara dan tulisan yang mempromosikan kumpulan pengganas itu,” katanya.

Tambah beliau, kumpulan WhatsApp itu juga menganjurkan perbincangan yang mewajarkan pengeboman bunuh diri dalam konteks perang, mencerminkan pandangan ekstremis yang sejajar dengan IS.

“Nombor telefon yang digunakan MAS telah dikenal pasti sebagai pentadbir utama kumpulan WhatsApp itu,” katanya sambil menyatakan polis telah merampas telefon bimbitnya.

Densus 88 berikrar untuk terus membanteras rangkaian pengganas, termasuk mereka yang mengeksploitasi platform digital.

-Advertisement-

“Penyebaran kandungan berkaitan penolakan tolak ansur, radikalisme, ekstremisme dan pengganasan di media sosial masih berleluasa,” kata Mayndra.

Tangkapan berkaitan pengganasan merosot sejak mencapai angka tertinggi 370 orang pada 2021, kepada 55 orang pada 2024 dan tiada tangkapan direkodkan setakat ini bagi 2025.

Tiada serangan dilaporkan dalam dua tahun kebelakangan ini, namun menurut Mayndra, kandungan radikal dan pengganasan di media sosial berpotensi mencetuskan kemunculan pelaku ‘lone wolf’.

Ia adalah tindakan individu secara sendirian terutama dalam kalangan anak muda yang kurang pendedahan terhadap ideologi tersebut.

Data yang dikumpul oleh pasukan itu pada 2024 menunjukkan terdapat 168,058 kandungan sebegitu, dengan hampir 85,000 daripadanya ditemui di Instagram, iaitu wadah media sosial paling meluas digunakan di Indonesia.

Facebook berada di tempat kedua dengan 43,242 kandungan berkaitan ekstremisme, diikuti TikTok dan platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter) masing-masing dengan 23,594 dan 9,535 kandungan menyebarkan fahaman radikal dan pengganasan.
-AGENSI
-Beritaharian