Ringgit menyinar di tengah-tengah ketidaktentuan global – Penganalisis

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Ringgit melonjak tinggi apabila terus mengukuh melepasi paras halangan RM4.40 untuk berada pada kadar sekitar RM4.38 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tengah hari tadi.

Penganalisis melihat kedudukan dolar AS semakin goyah didorong oleh pelbagai faktor membimbangkan, termasuklah ketidakpastian impak tarif AS, persoalan mengenai kredibiliti Rizab Persekutuan AS (Fed) serta risiko kemelesetan ekonomi yang semakin ketara, menyokong pengukuhan ringgit dan mata wang pasaran baharu muncul lain.

Pada jam 3 petang tadi, ringgit mengukuh kepada RM4.379 berbanding dolar AS daripada RM4.41 pada penutup Jumaat lalu.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata dolar AS menerima tamparan hebat dari pelbagai aspek seperti keretakan struktur ekonomi AS yang semakin melebar, kebebasan dalam membuat keputusan oleh Pengerusi Fed AS, Jerome Powell di bawah desakan politik Donald Trump dan kesan perang tarif.
Katanya, AS telah beralih daripada tempat lindung nilai global kepada kad ‘liar’ makro, justeru memaksa penilaian semula di mana modal harus diletakkan dalam persekitaran yang tidak menentu.

Menurutnya, dengan institusi tempatan secara senyap berputar ke arah permainan yang lebih selamat, lebih seimbang dan pemain serantau memilih untuk menyah risiko tanpa melarikan diri kepada dolar, meletakkan modal dalam pasaran domestik secara tiba-tiba kelihatan seperti dagangan yang meyakinkan.

“Ini bukan mengenai memaksimumkan hasil lagi – ia mengenai kestabilan dalam dunia di mana turun naik dibuat di Washington, bukan Caracas.

“Malaysia, dipuji, tidak terlalu memainkan peranan fiskal atau monetari secara berlebihan. Tiada rangsangan yang melulu, tiada penjejasan kredibiliti, hanya pendirian dasar yang mantap.

“Dalam persekitaran ini, ia tidak membosankan – itulah ‘alfa’,” katanya kepada BH mengulas mengenai prestasi ringgit berbanding dolar AS.

Mengulas lanjut, Innes berkata, tambahan pula perdagangan yang menggalakkan dengan China serta permintaan yang meningkat untuk lindung nilai bukan dolar, ringgit mula kelihatan lebih kepada permainan ‘defensif’ berbanding aset berisiko.

Katanya, dalam dunia di mana risiko pengeksportan dirasakan sebagai pilihan dan aset domestik mula mengatasi kelaziman sejarahnya, ‘smart money’ tidak mengalir ke luar, ia beredar pulang ke ‘rumah’.

“Dolar AS goyah di bawah percanggahan sendiri. Kredibiliti Fed menjadi perdebatan langsung. Tarif membakar keyakinan. Dalam situasi itu, modal mengalir kepada pilihan – bukan empayar. Itulah sebabnya ringgit mendapat minat belian hari ini,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata faktor utama menyokong ringgit adalah dasar ekonomi Presiden AS, Donald Trump terutamanya dasar yang membabitkan tarif import, yang dilihat tidak konsisten dan sering berubah-ubah.

Katanya, dari sudut pandang geopolitik pula, dasar Trump dilihat begitu antagonistik terutamanya terhadap sekutu AS seperti negara di G7.

Justeru, perkara itu menyebabkan kehilangan keyakinan terhadap status mata wang AS yang sebelum ini dilihat sebagai mata wang lindung nilai, jelasnya.

“Perkara ini seiring dengan kenaikan dalam kadar hasil bon di dalam sekuriti perbendaharaan AS yang mana kadar hasil bon yang bertempoh matang 10 tahun telah meningkat daripada 4.33 peratus pada 9 April sehingga ke paras 4.49 peratus pada 11 April.

“Kenaikan kadar hasil bon ini menunjukkan terdapatnya aktiviti penjualan dalam pegangan sekuriti perbendaharaan AS, sekali gus menandakan tanda-tanda kehilangan terhadap keyakinan terhadap mata wang dolar AS,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, terdapat kemungkinan bahawa ringgit bakal mengukuh berbanding dolar AS.

Namun, jelasnya, masih tidak diketahui apakah fenomena ‘dedolarisation’ itu akan berlaku secara drastik memandangkan dolar AS banyak diguna pakai dalam penyelesaian perdagangan antarabangsa, pegangan rizab mata wang asing bagi bank-bank pusat dunia dan juga transaksi mata wang asing.

Pihaknya berpendapat bahawa peralihan kepada mata wang bukan dolar AS akan terus berlaku dan sudahpun berlaku, namun, untuk dolar AS terus diganti secara mutlak dalam tempoh terdekat adalah satu tanggapan yang kurang realistik.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan pula berpendapat, pengukuhan ringgit berbanding dolar AS adalah disebabkan oleh kelemahan dolar AS.

Jelasnya, faktor utama yang menyebabkan dolar AS melemah adalah berikutan keyakinan pelabur terhadap ekonomi AS susulan rancangan Trump untuk merombak Fed, yang sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kebebasan institusi kewangan pusat.
-BeritaHarian