KUALA LUMPUR: Rangkaian pusat urut terkemuka yang diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disyaki membayar rasuah berjumlah RM2.7 juta setahun kepada beberapa pegawai agensi penguat kuasa, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), sebagai wang perlindungan.
-Advertisement-
Menurut sumber, rangkaian pusat urut itu dipercayai menggunakan sistem perakaunan dua lapis, di mana 80 peratus daripada jualan tunai tidak dilaporkan, menyebabkan anggaran kebocoran cukai sebanyak RM7.56 juta setahun.
“Syarikat ini disyaki membayar rasuah RM2.7 juta setahun kepada pegawai beberapa agensi penguat kuasa, termasuk PBT, sebagai wang perlindungan. Susulan itu, SPRM menahan lima individu, termasuk empat penguat kuasa dan seorang pesara agensi penguat kuasa, yang disyaki terbabit dalam rasuah membabitkan rangkaian pusat urut terkemuka di negara ini,” kata sumber itu.
Empat direman
Empat daripada suspek — tiga penguat kuasa dan seorang pesara — direman selama empat hari sehingga 2 Februari selepas Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan reman SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
“Kelima-lima suspek lelaki berusia antara 30 hingga 60-an ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya semalam ketika hadir memberi keterangan antara jam 5 hingga 7 petang. Seorang daripada suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala empat lagi dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman,” tambah sumber itu.
Semua suspek disyaki menerima suapan daripada syarikat pusat urut bagi memudahkan operasi pusat urut serta mempermudah proses permit pekerja asing syarikat terbabit.
-Advertisement-
Hingga kini, SPRM telah mengambil keterangan daripada 16 saksi untuk membantu siasatan. SPRM juga menggeledah enam lokasi di Lembah Klang, membabitkan pejabat dan kediaman suspek yang dikenal pasti.
Selain itu, SPRM mengambil tindakan membekukan 124 akaun perbankan milik individu dan syarikat, bernilai kira-kira RM13.3 juta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata siasatan juga sedang meneliti kemungkinan elemen jenayah lain, khususnya pengubahan wang haram.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM membekukan 121 akaun bank bernilai kira-kira RM11.5 juta selepas lima individu direman bagi siasatan rasuah penguat kuasa melibatkan rangkaian pusat urut terkemuka.
SPRM menerusi kenyataan rasmi di akaun TikTok suruhanjaya itu memaklumkan bahawa perintah reman semua suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas permohonan dibuat SPRM pagi tadi.
-BeritaHarian