Romero mohon maaf krisis Spurs makin parah

Estimate Reading Time: 2 minutes

LONDON: Cristian Romero menambah lagi bahang krisis di Tottenham Hotspur apabila kapten kelab itu seolah-olah menyindir hierarki kelab selepas memohon maaf susulan kekalahan terbaharu yang mengecewakan.

-Advertisement-

Pasukan kendalian Thomas Frank tewas 2-3 kepada Bournemouth kelmarin sekali gus mencatat hanya dua kemenangan daripada 12 perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tottenham kini merudum di tangga ke-14 liga, dengan tekanan semakin memuncak terhadap Frank yang bergelut mengubah nasib pasukan pada musim pertamanya selepas tiba dari Brentford.

Ketika kemarahan penyokong semakin jelas – termasuk insiden pertengkaran dengan pemain selepas kekalahan di Bournemouth – kapten Spurs, Romero menggunakan media sosial untuk memohon maaf atas situasi pasukannya.

Pertahanan tengah Argentina yang dikenali dengan sikap agresif itu turut memberi bayangan Frank dan pemain seharusnya menerima sokongan terbuka daripada pihak atasan kelab.

Dalam hantaran di Instagram, dia menyatakan “orang lain” sepatutnya tampil bersuara dan menambah mereka “hanya muncul ketika keadaan berjalan lancar, untuk menceritakan beberapa pembohongan.”

Pemain berusia 27 tahun itu kemudian memadam hantaran berkenaan, namun versi baharu yang dimuat naik hampir sama, kecuali kenyataan mengenai pembohongan, tetapi masih dilihat menyasarkan lembaga pengarah Tottenham.

-Advertisement-

Daniel Levy meninggalkan jawatannya sebagai pengerusi pada September lalu, manakala ketua pegawai eksekutif baharu, Vinai Venkatesham hanya dilantik pada April.

Pengarah bersama sukan Tottenham, Johan Lange pula memegang jawatan sejak 2023, sementara pemilik majoriti ENIC yang dikendalikan amanah keluarga Lewis jarang tampil membuat kenyataan umum.

“Permohonan maaf kepada semua penyokong yang mengikuti kami ke mana sahaja, yang sentiasa ada dan akan terus bersama kami,” kata Romero.

“Kami bertanggungjawab sepenuhnya, tiada keraguan mengenai itu. Saya yang pertama. Tetapi kami akan terus menghadapinya dan cuba memperbaiki keadaan, untuk diri kami dan kelab.

“Pada saat seperti ini, sepatutnya orang lain tampil bersuara, tetapi mereka tidak – seperti yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Mereka hanya muncul apabila keadaan baik.

“Kami akan terus berada di sini, bekerja, bersatu dan memberikan segala-galanya untuk mengubah keadaan. Terutama dalam situasi begini, berdiam diri, bekerja lebih keras dan bergerak ke depan bersama-sama adalah sebahagian daripada bola sepak. Bersama-sama, semuanya akan menjadi lebih mudah.”

–AFP
-BeritaHarian