Salamiah dengar ungkapan ‘cinta’ arwah suami dalam nota suara bila rindu

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda, Salamiah Hassan tidak terfikir untuk mencari pengganti biarpun sudah tiga tahun suami tercinta, Allahyarham Gerald Hughes atau Gerry menyahut panggilan Ilahi.

-Advertisement-

Bagi Salamiah, 74, cintanya terhadap lelaki itu tetap mekar dan berharap mereka akan dipertemukan semula di syurga kelak.

“Saya tak ada masa untuk dikejar (diburu cinta) dan saya hanya duduk di rumah sahaja. Saya nak jumpa suami di syurga jannah jika diizinkan Allah SWT.

“Arwah seorang yang sangat baik. Dia baca al-Quran dua kali dan lebih tahu daripada saya (bacaan al-Quran).

“Hidup ini sukar, Allah beri apa yang saya inginkan biarpun hanya dua bulan kami menjadi suami isteri. Saya terima takdir ini (pemergiannya) dan takkan saya nak persoalkan pula.

“Pasti apa yang berlaku ada sebab-sebabnya,” katanya ditemui pada sidang media Konsert Gelombang Bahagiaku di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.

Konsert dijayakan bersama anaknya, Atilia Haron itu bakal berlangsung di Plenari Theatre, KLCC, pada 16 Ogos depan jam 8.30 malam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat kanser selepas dua bulan berkahwin dengan Salamiah.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Menghitung Hari itu mengakui masih menyimpan ‘voice note’ peninggalan arwah suami di telefon pintarnya.

-Advertisement-

Biarpun pernah cuba untuk memadamnya, namun hasrat itu tidak diteruskan kerana mahu menjadikannya sebagai tanda kenangan.

“Saya masih menyimpan nota suara arwah. Dalam rakaman, arwah melafazkan ayat ‘saya cintakan awak’ dan ‘Assalamualaikum’ yang juga menjadi perkataan kegemarannya.

“Pernah juga terdetik untuk memadamnya, tapi bila fikir kembali, kalau saya padam, saya tak boleh nak dengar lagi. Tapi, kalau saya selalu dengar, ia akan melukakan.

“Biasanya, saya akan dengar bila terlalu rindu dan selepas menunaikan solat,” kongsi penyanyi bersuara ampuh ini.

Salamiah dan Allahyarham Gerry mendirikan rumah tangga pada 1 September 2022 dalam satu majlis ringkas di Tasmania, Australia.

Ini adalah perkahwinan kedua buat Salamiah dan Allahyarham Gerry yang berstatus duda kepada tiga cahaya mata.

Terdahulu, Salamiah pernah berkahwin dengan Allahyarham Raja Haron Raja Aziz sebelum berpisah pada 1986. Bekas suami meninggal dunia pada 28 Julai 2022 akibat sakit jantung dan parkinson.

Hasil perkahwinan, pasangan dikurniakan dua cahaya mata, Raja Putri Atilia, 51, dan Raja Ahmad Shah, 46.
-BeritaHarian