‘Saya negatif, bukan bawah pengaruh dadah’ – Aiman

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Pempengaruh yang juga suami kepada Siti Jamumall, Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, mengambil tindakan untuk melakukan ujian saringan air kencing bagi membuktikan bahawa dia bebas dari penyalahgunaan dadah.

Tindakan itu dilakukan Aiman pada 16 Mei lalu bagi membersihkan namanya selepas ada dakwaan beberapa pihak mengatakan dia berada di bawah pengaruh dadah ketika melafazkan talak terhadap isterinya yang sedang melakukan siaran langsung di media sosial pada 15 Mei lalu.

“Disebabkan kenyataan Siti dalam siaran langsung (live) tempoh hari, saya sedar akan timbul pelbagai persepsi terhadap saya. Saya juga memang seorang yang mudah tertekan semasa ‘live’.

“Jadi, saya faham jika ada pihak yang melihat saya dalam sudut negatif. Namun, saya bertindak mempertahankan diri. Saya sendiri ke klinik untuk menjalani ujian air kencing mengikut kemampuan saya.

“Keputusan daripada lima jenis ujian dadah yang dijalankan menunjukkan keputusan negatif dan saya bebas daripada sebarang bahan terlarang,” katanya.

Aiman bagaimanapun tidak menolak bahawa wujud tekanan ketika kejadian itu berlaku.

“Apa yang menambah tekanan pada malam kejadian, sebab saya berharap saya agar ada seseorang dalam rumah itu mengambil tindakan untuk menamatkan siaran langsung itu.

“Ketika itu, abang sulung Siti, Tuan Nizam berada di situ bersama pembantunya. Saya berharap dia dapat menyampaikan kepada Siti untuk menamatkan siaran, tetapi perkara itu tidak berlaku.

“Saya pula semakin tertekan apabila melihat jumlah tontonan yang semakin meningkat dan ramai orang ada di rumah ketika itu. Maka itulah yang menyebabkan situasi menjadi seperti yang berlaku,” katanya.

Peguam yang mewakili Aiman, Mohd Noor Aizan Md Idros juga menegaskan bahawa kes ini tidak membabitkan sebarang pengaruh ubat-ubatan atau ketidakwarasan.

“Berdasarkan semakan awal, kes ini dilihat sebagai kes biasa dan tidak membabitkan unsur ketidakwarasan, pengaruh ubat-ubatan atau dadah semasa lafaz dilakukan.

“Aiman berada dalam keadaan waras ketika melafazkan cerai itu, walaupun berlaku ketegangan antara suami isteri, yang boleh dianggap sebagai perkara biasa dalam rumah tangga.

“Tambahan pula, lafaz itu dibuat secara langsung (live) di media sosial, yang turut menambah tekanan kepada situasi ketika itu,” katanya.

Terdahulu, berlaku ketegangan antara Aiman dan Siti dan tindakan Aiman melafazkan talak kepada Siti disaksikan lebih 25,000 penonton yang sedang menonton siaran langsung di media sosial Siti.

Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini menetapkan tarikh 21 Julai ini untuk sebutan pertama.
-BeritaHarian