JERANTUT : Air Sungai Tembeling semakin surut sehingga menampakkan beting pasir di beberapa kawasan berikutan musim kemarau.
Musim panas bermula sejak minggu lalu turut menjejaskan urusan harian penduduk terutamanya bagi nelayan sungai dan mereka yang menggunakan bot penambang.
Seorang penjawat awam di sini, Farhan Nasruddin berkata, keadaan kawasan sungai itu mula timbul beting pasir seluas 50 hingga 80 meter berdekatan tebing di pesisir kampung itu sehingga menyukarkan bot penambang dan aktiviti penangkapan ikan.
“Air surut dan cetek menyebabkan timbul beting pasir di kebanyakan tempat di sungai ini dan membentuk pulau pasir di tengah sungai, sekali gus menjejaskan pergerakan bot penambang membawa penumpang menyeberang sungai dan membawa hasil kampung.
“Keadaan cuaca panas mengakibatkan air Sungai Tembeling semakin cepat menjadi cetek memberi kesan kepada aktiviti harian penduduk yang tinggal di pesisir sungai di Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Bantal Seberang,” katanya.
Katanya, malah penduduk di Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling turut terjejas untuk menyeberang sungai untuk urusan harian.
Penduduk Kampung Bantal, Jamizan Rashid, 46, berkata, mulai bulan Jun hingga September setiap tahun paras air Sungai Tembeling mula cetek kerana tiada hujan di kawasan hulu sungai.
“Beting pasir berdekatan tebing di pesisir kampung menyukarkan bot bergerak dan aktiviti penangkapan ikan turut terjejas.
“Sekiranya musim kemarau berterusan, keadaan Sungai Tembeling akan surut dan memberi kesan kepada penternakan ikan sangkar di sini,” katanya.
Nelayan sungai Kampung Pagi, Adenan Nipah, 69, berkata, sehingga ini kebanyakan penduduk yang mencari rezeki menangkap ikan berdepan kekurangan hasil tangkapan kerana di beberapa tempat di sungai ini mulai cetek.
“Ikan liar mula tertumpu di lubuk dan bawah batu kerana tidak tidak dapat bergerak akibat sungai cetek, manakala ikan patin, ikan lawang, ikan jengkua dan ikan liar lain mencari makanan di kawasan hilir sungai jauh dari sini.
-BeritaHarian