‘Takde siapa nak menoreh termasuk masyarakat Orang Asli’

Estimate Reading Time: 2 minutes

BALING: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu, Mohd Taufik Yaacob mendakwa ladang getah masyarakat Orang Asli di Kampung Lubuk Legong, di sini, tidak dapat diuruskan selepas pandemik COVID-19 kerana tiada pekerja yang mahu menoreh selain kejatuhan harga pasaran getah.

-Advertisement-

Beliau yang juga Pengarah Bayu Rimba Enterprise iaitu syarikat yang menguruskan ladang getah itu mendakwa perbincangan sudah dibuat namun tiada yang mahu menoreh termasuk masyarakat Orang Asli walaupun mereka akan menerima gaji dan juga dividen.

Mengulas lanjut, katanya, syarikat itu mengambilalih pengurusan ladang getah terbabit selepas terbiar pada 2010.

“Tok Batin berjumpa dengan saya ketika itu dan minta saya bantu menguruskan ladang berkenaan, saya keluarkan modal sendiri RM1.7 juta untuk buat pelaburan membangunkan tanah Orang asli bagi fasa satu dan fasa dua.

“Kira-kira RM700,000 dividen dibayar kepada 43 peserta bermula 2017, sebab ketika itu harga getah tinggi, jadi saya berusaha membayar dividen kepada mereka.

“Selepas negara dilanda pandemik COVID- 19, pengurusan ladang terhenti, kilang tak buka, pekerja tak keluar menoreh, tiada produktiviti, tetapi saya bayar juga dividen atas ihsan saya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Taufik mengulas mengenai dakwaan 43 peserta ladang getah masyarakat Orang Asli suku Kensiu di kampung itu, kecewa apabila tidak lagi menerima bayaran dividen hasil komoditi itu sejak dua tahun lalu.

Tok Batin kampung itu, Razali Kulim, 42, mendakwa bayaran dividen kepada peserta tertunggak sejak Ogos 2021 dengan perjanjian bayaran bersama syarikat pengurusan sepatutnya adalah RM300 sebulan.

Mengulas lanjut, Mohd Taufik berkata, beliau mengeluarkan modal melabur dalam projek ladang kerana mahu bantu membangunkan tanah Orang Asli, memajukan ekonomi dan membantu mereka.

“Tetapi akhirnya dituduh begini sedangkan mereka boleh sahaja berjumpa saya terus, tak perlu melalui media,” katanya.

-Advertisement-

Sementara itu, Razali mendakwa syarikat terbabit mengusahakan ladang getah seluas 173 hektar sejak 2012 dan kami mendapat bayaran yang dijanjikan iaitu RM150 tunai serta RM150 lagi dalam bentuk bakul makanan setiap bulan, tapi selepas Ogos 2021 kami tak terima apa-apa bayaran.

“Awal bulan lalu, diadakan mesyuarat di Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Grik, Perak dan kami dipanggil bersama pengurusan syarikat yang memaklumkan mereka akan selesaikan dalam tempoh seminggu tapi senyap hingga hari ini,” katanya.

Razali berkata, akibat tidak mendapat sebarang perkhabaran daripada syarikat terbabit, pihaknya membuat laporan polis kali kedua semalam, selepas laporan pertama dibuat pada 3 Mei lalu kerana syarikat terbabit melanggar perjanjian kontrak.

“Walaupun duit itu cuma RM150 dan makanan, tapi ia sememangnya banyak membantu kami, kami guna duit itu untuk perkara asas sahaja dan perbelanjaan anak ke sekolah bukan untuk bergaya beli kereta dan sebagainya.

“Majoriti kami bekerja cari rotan dan ada juga ambil upah menebas dan buat rumah, hasil ladang itu satu-satunya pendapatan tetap yang ada sebelum ini, ia memang memberi kesan besar kepada kehidupan kami,” katanya.

Seorang peserta, Ridzuan Yusoh, 30, berkata terpaksa menyara keluarga dengan mengambil upah mesin rumput di tepi jalan dengan pendapatan RM70 sehari, namun hanya dapat berkerja seminggu dalam tempoh sebulan.

“Kami bergilir-gilir kerja, jadi pendapatan saya tidak sampai RM500 sebulan, selama ini duit dividen ini banyak membantu,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373