Tender perolehan: Empat pegawai kanan ATM antara 23 individu ditahan SPRM – Azam Baki

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Seramai 23 individu termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan itu berhubung siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam.

-Advertisement-

Jelas beliau, siasatan kes itu telah bermula sejak 7 Oktober lalu dan disifatkan sebagai sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam. “Penahanan ini berhubung dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

-Advertisement-

“Kes ini saya klasifikasi sebagai kes berprofil tinggi yang perlu ada kesegeraan kerana melibatkan kepentingan awam dan pangkat mereka yang terlibat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, pada Khamis. Katanya, kesemua individu disyaki menyalah guna dana TKAT untuk kepentingan peribadi serta aktiviti yang tidak berkaitan dengan TKAT.

Menurutnya, SPRM telah membuka 22 kertas siasatan kesalahan asas serta satu kertas siasatan sehingga kini mengikut Seksyen 41 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 17A dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang masing-masing berkaitan penerimaan suapan serta kesalahan salah guna kuasa oleh penjawat awam.

“Dalam kes rasuah, kita tidak hanya lihat transaksi wang semata-mata. Kita perlu membuktikan siapa pemberi, siapa penerima dan bentuk perlindungan yang wujud,” ujarnya.

Dalam tempoh kira-kira dua minggu, 30 saksi telah dirakam percakapan manakala beberapa pegawai kanan tertinggi telah dipanggil bagi membantu siasatan. Azam berkata, ia termasuk dua individu yang ditahan tanpa dibawa ke mahkamah bagi tujuan reman.

-AstroAwani