Berapa ramai rakyat Malaysia menyedari Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia disambut semalam, iaitu 23 April?
Tarikh itu dipilih Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai mengiktiraf ‘kuasa buku’ sebagai jambatan antara generasi dan budaya.
Malah, buku juga ‘bahan mentah’ kepada perubahan sosial dan kemajuan sesuatu bangsa yang bagi pemikir Islam seperti Malek Bennabi, memerlukan kesedaran intelektual, etika dan spiritual masyarakat.
Sudah tentu keprihatinan masyarakat terhadap sambutan simbolik terhadap budaya membaca itu tidak cukup untuk mengukur tahap pembacaan.
Dalam Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023, jumlah naskhah dibaca meningkat kepada 24 naskhah pada 2023 berbanding 15 naskhah (2014), manakala rakyat kita membaca 16 naskhah bercetak dan lapan digital selama sembilan jam 22 minit seminggu.
Soalnya, apakah jumlah itu mencukupi berbanding masa dihabiskan untuk media sosial dan media komunikasi yang diakui menjadi ‘medan peperangan’ penuh berita palsu dan maklumat tidak benar?
Dari sudut insentif material, kita perlu akui kerajaan, dalam tempoh tiga tahun ini, memberikan tumpuan, termasuk peruntukan RM50 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam Belanjawan 2025 untuk memperkasa bidang perbukuan dan kesusasteraan, selain pengenalan semula baucar buku untuk murid sekolah dan pelajar universiti pada tahun lalu.
Namun, kita tidak boleh berpuas hati hanya dengan angka kerana persoalan utamanya adalah bagaimanakah dana itu dimanfaatkan untuk mengubah landskap pemikiran masyarakat dan meningkatkan keilmuan rakyat?
Justeru, kita mahu agensi pelaksana utama seperti DBP, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Yayasan Karyawan memastikan dana itu bukan sahaja diguna bagi menerbitkan buku, bahkan memastikan naskhah dibaca, diulas, dibincang dan didebatkan sebagai wacana awam yang dapat membentuk pemikiran masyarakat.
Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) tidak seharusnya dilihat sebagai penganjur Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) semata-mata, sebaliknya diperkasa sebagai badan merangka dasar menyeluruh pembangunan industri buku dengan kerjasama strategik Perbadanan Kota Buku (PKB) dan pemain industri.
Kita perlu menyedari tahap literasi masyarakat sedia ada masih belum memadai untuk menangkis cabaran berita palsu pada era pascakebenaran atau post-truth yang negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) serta United Kingdom (UK) sendiri pun terkial-kial menanganinya.
Justeru, agenda meningkatkan budaya membaca dan ilmu rakyat perlu mendapat sokongan merentas kementerian, termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Perpaduan Negara.
Pada masa sama, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat korporat perlu menjadikan buku serta budaya membaca sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat mereka.
Pertubuhan bukan kerajaan termasuk persatuan penulis perlu dilibatkan dalam usaha meningkatkan tahap literasi masyarakat hingga lebih berilmu dan bijaksana menghadapi era ketidakstabilan, ketidakpastian, rumit dan kabur (VUCA) ini.
-BeritaHarian