TNI sedia 4 batalion untuk misi pengaman Gaza

Estimate Reading Time: < 1 minute

JAKARTA: Indonesia akan mempersiapkan briged empat batalion selaku pasukan pengaman ke Gaza jika menerima mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

-Advertisement-

Panglima Angkatan Pertahanan Indonesia (TNI), Jeneral Agus Subiyanto, berkata empat batalion itu terdiri daripada Batalion Sokongan, Batalion Kesihatan, Batalion Jurutera dan Batalion Bekalan dengan keanggotaan mencecah 1,212 orang.

“Kami akan membentuk satu briged yang terdiri daripada Batalion Sokongan, Batalion Jurutera, Batalion Kesihatan dan Batalion Bekalan,” kata Subiyanto selepas menghadiri mesyuarat kerja dengan Komisi I Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (DPR RI) semalam.

Menurut portal berita ANTARA, Subiyanto menjelaskan Batalion Kesihatan akan dilengkapi dengan keupayaan penjagaan perubatan, termasuk doktor dalam pasukan.

Sementara itu, Batalion Jurutera bersedia untuk mempunyai keupayaan pembinaan bangunan dan Batalion Bekalan ditugaskan untuk membuka dapur awam.

Batalion Sokongan pula akan menyediakan keselamatan untuk kakitangan yang berkhidmat di Gaza.

Subiyanto berkata pasukan keselamatan masih diperlukan berikutan konflik yang berlaku di kawasan itu.

“Kami akan melindungi tentera kami di Gaza,” tegasnya.

-Advertisement-

Selain itu, pihaknya sedang menyediakan dua kapal hospital untuk misi damai iaitu KRI Rajiman dan KRI Suharso bagi merawat mangsa yang terjejas akibat konflik itu.

“Kedua-dua kapal ini boleh memberi rawatan di atas kapal bersama-sama dengan unit kecemasan untuk pembedahan, bilik kecemasan dan kemudahan x-ray juga,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Muhammad Herindra, berkata penempatan tentera masih menunggu mandat daripada PBB.

Selain itu, pihaknya juga telah membincangkan rancangan pemindahan mangsa awam.

“Kami akan menghantar hospital lapangan dan kami boleh memindahkan mangsa awam di Gaza dan membawa mereka ke Indonesia,” kata Herindra.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Prabowo Subianto, berkata Presiden Joko Widodo telah mengarahkan beliau untuk memindahkan, menerima dan merawat 1,000 pesakit dari Palestin dengan rawatan perubatan dalam masa terdekat.

-BeritaHarian