Tribunal beri ‘award’ pertama kes aduan gangguan seksual

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) memerintahkan seorang majikan lelaki membuat permohonan maaf kepada pekerja wanitanya selepas didapati melakukan gangguan seksual fizikal.

-Advertisement-

Award ini dikeluarkan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh pertama pendengaran iaitu pada 23 Mei lalu, selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 19(1) Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840).

Perintah itu dikeluarkan tribunal itu selepas mempertimbangkan keterangan dan bukti dikemukakan dan pengadu berjaya membuktikan bahawa responden melakukan perbuatan itu ke atas dirinya.

“Justeru, tribunal memerintahkan responden membuat pernyataan permohonan maaf sebagaimana yang dipohon oleh pengadu,” menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini.

-Advertisement-

Tribunal Bagi Antigangguan Seksual yang bersidang di KPWKM di sini, mengeluarkan ‘award’ itu bagi aduan pertamanya membabitkan gangguan seksual secara fizikal.

Tribunal itu menyediakan saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum.

Mangsa gangguan seksual diminta tampil membuat aduan di kaunter TAGS, KPWKM Putrajaya atau menghubungi Talian Kasih 15999 untuk sebarang pertanyaan.

-BeritaHarian