KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong akan membuat kemunculan semula di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China dari 8 hingga 13 April, selepas berehat lebih setahun akibat pembedahan belakang.
-Advertisement-
Menurut ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen, pemain berusia 25 tahun itu pada awalnya disenaraikan bagi menyertai Cabaran Antarabangsa Vietnam dari 25 hingga 30 Mac ini tetapi selepas perbincangan, semua bersetuju untuk Tze Yong memulakan aksi di BAC.
Jonassen berkata keputusan itu akan membolehkan Tze Yong mendapat tambahan masa selama dua minggu bagi melakukan persiapan sebelum kembali ke gelanggang.
“Kami sudah mengeluarkan namanya (Tze Yong) daripada Cabaran Antarabangsa Vietnam. Jadi, dia akan bermain kejohanan pertamanya di Kejohanan Badminton Asia.
-Advertisement-
“Ini akan memberikan Tze Yong tambahan masa dua minggu untuk dia buat persiapan sebelum kembali beraksi dalam kejohanan,” kata Jonassen kepada BH Sukan.
Tze Yong yang memiliki perlindungan ranking ke-18 dunia, kini jatuh ke kedudukan ke-1,927 dalam ranking semasa selepas lebih setahun tidak beraksi di kejohanan antarabangsa.
Berdasarkan peraturan, Tze Yong mesti menyertai sekurang-kurangnya satu kejohanan sebelum penghujung April bagi mengekalkan status rankingnya selama enam bulan lagi.
Tze Yong mengalami kecederaan belakang ketika beraksi di Terbuka Malaysia pada Januari tahun lalu, yang memaksanya menjalani dua pembedahan dan perlu berehat panjang.
-BeritaHarian