UPSI perkukuh hubungan Malaysia-Jepun melalui program bahasa dan budaya

Estimate Reading Time: 2 minutes

TANJONG MALIM, 2 April 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  memperkukuhkan  jaringan antarabangsa menerusi penganjuran program pertukaran bahasa dan budaya bertajuk “Beyond The Border: Language & Cultural Exploration” yang berlangsung dari 29 Mac hingga 4 April 2026 di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah di sini.

Para peserta ketika mempelajari ekosistem kumbang pada program “Beyond The Border: Language & Cultural Exploration di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata program anjuran Akademi Bahasa Antarabangsa (AKAR), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) itu melibatkan seramai 34 peserta dari Jepun yang membabitkan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah serta peserta dewasa.

Menurut Prof Md Amin, program seumpama itu berperanan penting dalam melahirkan generasi global yang bukan sahaja mahir berbahasa, malah memiliki kefahaman mendalam terhadap kepelbagaian budaya. “UPSI komited untuk memperluas program antarabangsa berimpak tinggi seperti ini sebagai platform memperkukuh diplomasi pendidikan serta meningkatkan kebolehpasaran graduan di peringkat global.

Beliau berkata, pendedahan secara langsung kepada budaya tempatan dan interaksi rentas negara mampu membentuk sikap keterbukaan, toleransi serta penghargaan terhadap kepelbagaian dalam kalangan peserta. “Melalui program ini, kita bukan sahaja memperkenalkan Malaysia kepada dunia, malah membuka ruang kepada pertukaran idea, nilai dan pengalaman yang memberi manfaat kepada semua pihak terlibat,” ujar beliau.

-Advertisement-

Md Amin (tengah) bergambar kenangan bersama peserta Jepun dan barisan fasilitator pada program “Beyond The Border: Language & Cultural Exploration di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Sementara itu, Pengarah Program, Tan Lee Na berkata, inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Bahasa Cina dalam kalangan peserta, di samping memperkenalkan keunikan budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia. “Program ini turut menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan persekitaran bahasa dan budaya tempatan.

Menurutnya, program itu merupakan hasil kerjasama strategik antara UPSI dan Akito Global Education Sdn Bhd dalam usaha memperluas jaringan pendidikan global serta memperkasa pertukaran ilmu rentas budaya. “Sepanjang program, peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti interaktif termasuk sesi pembelajaran bahasa Inggeris bagi peringkat sekolah rendah dan menengah, kelas Bahasa Cina serta kelas Bahasa Melayu.

Katanya, peserta turut mengikuti sesi eksplorasi ekosistem kumbang, aktiviti di Edu-Forest serta lawatan sekitar Kuala Lumpur. “Peserta juga berpeluang mendalami budaya tempatan secara langsung melalui pelbagai aktiviti warisan seperti pemakaian tudung Melayu, sari, seni rangoli dan henna serta penghasilan batik yang merupakan antara identiti seni budaya Malaysia,” katanya.

Artikel ini ditulis oleh Bazli bin Abdul Razak, Pegawai Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat Universiti

Artikel yang dinyatakan adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan The Capital Post.