TANJONG MALIM, 21 April (TheCapitalPost) – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan The Fund and Agency for Innovative Development di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, Republik Uzbekistan, dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan dan inovasi.
-Advertisement-
Majlis menandatangani perjanjian tersebut berlangsung di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI hari ini, melibatkan komitmen selama lima tahun antara kedua-dua pihak dalam membangunkan potensi saintis muda dari Malaysia dan Uzbekistan menerusi penyelidikan berimpak tinggi.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, pada fasa awal kerjasama, lima projek penyelidikan kolaboratif telah dipersetujui dengan peruntukan keseluruhan berjumlah kira-kira USD90,310 (sekitar RM440,000).

“Projek-projek ini akan melibatkan tiga fakulti utama iaitu Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan serta Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif.
“Ia memberi tumpuan kepada bidang berimpak seperti bandar pintar, ekonomi hijau, penerbitan saintifik, reka bentuk landskap dan pendidikan luar.
Menurut berliau, lima tajuk projek berkenaan ialah Bandar Pintar dan Pengurusan Sisa, Ekonomi Hijau dan Pendidikan Alam Sekitar, Jalan Penerbitan Saintifik Berimpak Tinggi (Scopus), Reka Bentuk Landskap dengan Tumbuhan Asli dan Pendidikan Luar untuk Mempromosikan Kebudayaan dan Pelancongan.
Tambah beliau, projek-projek itu bukan sekadar penyelidikan akademik semata-mata, malah merupakan platform pertukaran pengetahuan dan kerjasama menangani cabaran global secara bersama.
“Kerjasama ini membolehkan ahli akademik dari kedua-dua negara berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing. Ini satu peluang besar untuk memperkayakan ekosistem penyelidikan kita di UPSI, khususnya dalam bidang yang melibatkan teknologi hijau dan pembangunan mampan.

Beliau berkata, inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi UPSI untuk menjadi peneraju pendidikan bertaraf antarabangsa yang menekankan kepentingan inovasi dan impak sosial dalam penyelidikan.
“Dengan penyertaan pelbagai fakulti, kita dapat merangsang pendekatan multidisiplin yang lebih menyeluruh. Ini penting untuk memastikan hasil penyelidikan bukan sahaja relevan secara akademik, tetapi juga praktikal kepada masyarakat dan industri.
Profesor Dr Norkhalid turut menzahirkan keyakinan bahawa kejayaan fasa pertama ini akan membuka ruang kepada lebih banyak peluang pembiayaan dan kerjasama penyelidikan pada masa hadapan.
-Advertisement-
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada tokoh akademik UPSI, Profesor Dr Che Zalina Zulkifli yang memainkan peranan penting dalam memulakan program kerjasama ini serta menyumbang kepada pembangunan inisiatif Universiti Hijau di Uzbekistan.

“MoA ini juga signifikan kerana ia susulan kepada pertemuan Perdana Menteri Malaysia dan Uzbekistan baru-baru ini yang memperkukuh hubungan dua hala, dan kami berbangga kerana inisiatif ini turut menyumbang kepada momentum tersebut.
Tambah beliau, UPSI yang kini berada dalam kelompok 126–150 universiti terbaik dunia bagi bidang pendidikan menerusi QS World University Rankings, komited untuk terus memacu kecemerlangan dan inovasi melalui jaringan kerjasama antarabangsa.
“UPSI mengalu-alukan rakan-rakan dari Uzbekistan dengan tangan terbuka demi membina masa depan yang lebih cerah dan mampan,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Dana untuk Sokongan Sains dan Inovasi Pembiayaan, Tavakalov Jonibek Tavakalovich berkata, perjanjian itu mencerminkan komitmen berterusan Uzbekistan dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, khususnya dengan institusi pendidikan tinggi terkemuka seperti UPSI.
“Kami amat menghargai komitmen UPSI dalam menjayakan kerjasama ini. Melalui perkongsian ini, saintis muda dari kedua-dua negara dapat meneroka penyelesaian inovatif kepada cabaran global, khususnya dalam bidang kelestarian, teknologi dan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia dan Uzbekistan berkongsi banyak nilai bersama dari segi pembangunan ilmu, dan pihaknya yakin program penyelidikan bersama ini akan menghasilkan impak yang signifikan bukan sahaja untuk penyelidik, malah kepada masyarakat secara keseluruhan.
“Kerjasama ini membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala kami, bukan sahaja di peringkat diplomatik tetapi juga akademik dan teknologi.
“Kami yakin inisiatif ini akan menjadi contoh kepada negara lain dalam memperkukuh sains dan inovasi melalui rangkaian global,” katanya.
Hadir sama Pendaftar UPSI, En. Helmi Zaifura Abdul Rahman; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Profesor Dr. Mohd Izwan Shahril; Dekan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Prof. Madya Dr. Ing Maizatul Hayati Mohamad Yatim; Bahagian Analisis Maklumat dan Disiplin Eksekutif, Uzbekistan, Mr. Kabulov Elyor Nurmatovich; Ketua Pakar Dana Untuk Sains Pembiayaan Dan Sokongan Inovasi Uzbekistan, Mr.Imamov Shukhrat Hamraevich; Penolong Pengarah Agensi Pembangunan Inovatif, Mamatova Feruza Kholbekzona.
-Ditulis oleh Bazli Razak
-BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI
–TheCapitalPost