Usul batal ordinan ke Parlimen elak tohmahan kepada Seri Paduka

Estimate Reading Time: 3 minutes

Pada hari pertama sidang Mesyuarat Khas Penggal Ke-3 Parlimen Ke-14, Isnin lalu, satu kejutan berlaku apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan semua ordinan selepas Proklamasi Darurat diisytiharkan pada 11 Januari lalu, terlebih dahulu dibatalkan Jemaah Menteri pada 21 Julai.

-Advertisement-

Banyak persoalan timbul daripada kenyataan itu kerana penjelasan mengenai pembatalan itu akan hanya berlangsung pada Isnin akan datang.

Kekeliruan semakin banyak ditimbulkan jika benar pembatalan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, risiko kerajaan didakwa pelbagai pihak dalam tempoh 21 Julai hingga 26 Julai lalu, akibat penguatkuasaan ordinan yang sudah terbatal menurut kenyataan Takiyuddin tidak boleh dipandang remeh.

Suhu di Parlimen semakin hangat apabila kenyataan Istana Negara semalam, menzahirkan rasa dukacita Yang di-Pertuan Agong terhadap kenyataan Takiyuddin yang disifatkan mengelirukan diperbahaskan ahli Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan sama, dimaklumkan titah Yang di-Pertuan Agong kepada Takiyuddin dan Peguam Negara bahawa cadangan Jemaah Menteri untuk membatalkan semua Ordinan Darurat perlu dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan pengungkaiannya.

Jika dibaca keseluruhan teks kenyataan media Istana Negara itu, kita dapat memahami betapa Yang di-Pertuan Agong amat komited dalam menjunjung kewajipan baginda untuk mempertahankan, melindungi dan memelihara prinsip kedaulatan undang-undang serta keluhuran Perlembagaan.

Dalam kenyataan itu, baginda bertitah sedia maklum peruntukan Perkara 40(1) menggariskan ketika mana suatu nasihat Jemaah Menteri perlu diikuti, namun selaku ketua negara, nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan tidak berperlembagaan kepada mereka yang melaksanakan fungsi kuasa Yang di-Pertuan Agong juga adalah kewajipan baginda.

Prosedur yang betul untuk membatal mahupun mengungkai suatu ordinan termaktub di bawah Perkara 150(3). Jemaah Menteri tiada kuasa untuk membatalkan Ordinan Darurat kerana penggubalan ordinan itu di bawah kuasa perundangan.

Suatu Ordinan Darurat menjadi sah kerana dibuat di atas nama dan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Tanpa perkenan baginda melalui instrumen ordinan, kepuasan hati baginda di bawah Perkara 150(2B) dan (8) menjadi cacat.

Ordinan Darurat selepas dibentangkan di kedua-dua Majlis Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan Yang di-Pertuan Agong, boleh diungkai melalui resolusi Majlis Parlimen.

Jika tidak dibatal, mahupun diungkai lebih awal, suatu Ordinan Darurat akan terhenti berkuat kuasa apabila luput tempoh enam bulan daripada tarikh darurat itu tamat.

Perlu ditegaskan di sini, ketika memasyhurkan Ordinan Darurat, Yang di-Pertuan Agong bertindak melalui legislative authority di bawah Perkara 44 kerana baginda ialah entiti tertinggi Parlimen.

Sumber kuasanya ialah Perkara 150(2B) dibaca bersama-sama dengan Perkara 44. Dalam keadaan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak bersidang serta berlaku keperluan segera, Yang di-Pertuan Agong dibenarkan untuk menggubal Ordinan Darurat.

Walaupun dalam kes Teh Cheng Poh lwn Pendakwa Raya (1979), mahkamah berpandangan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikuti nasihat di bawah Perkara 40(1) ketika menggubal Ordinan Darurat, keputusan itu adalah bercanggah dengan prinsip pemisahan cabang kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan yang terdiri daripada legislatif, eksekutif dan kehakiman.

-Advertisement-

Jika dihujahkan sekalipun seperti dalam kes Madhavan Nair (1975) bahawa Yang di-Pertuan Agong melaksanakan kuasa eksekutif di bawah Perkara 39 apabila menggubal Ordinan Darurat, itu tidak bermakna baginda tertakluk pada nasihat eksekutif.

Perkara 39 dan Perkara 40(1) itu sendiri ada memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan fungsi kuasa eksekutif sendiri tanpa nasihat eksekutif. Perkara 40(1) tidak boleh dibaca secara mutlak kerana mengandungi pengecualian yang hendaklah dibaca bersama dengan Perkara 40(2), 40(3), 44, 66, 159 dan 181(1).

Dalam bidang kuasa Perkara 40(1), mahkamah perlu mengambil kira pengecualian termaktub dalam Perkara 44 kerana kuasa penggubalan undang-undang, termasuk ordinan jatuh di bawah kuasa Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong dibenarkan menggubal Ordinan Darurat bukan kerana baginda bertindak sebagai pemegang kuasa eksekutif Persekutuan, sebaliknya pemegang kuasa legislatif Persekutuan.

Dalam tempoh darurat, Jemaah Menteri boleh mengusulkan rang undang-undang di Parlimen di bawah Perkara 150(5). Rang undang-undang itu nanti akan tertakluk kepada prosiding di Parlimen bagi maksud penggubalan undang-undang.

Jika Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan ordinan digubal Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150(2B), Jemaah Menteri boleh menasihati baginda memanggil sidang Parlimen dan membawa usul untuk membahaskan ordinan berkenaan. Parlimen kemudian boleh membuat semakan, sama ada meneruskan atau mengungkaikannya.

Penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi (2018) dan kes Semenyih Jaya (2017) mengiktiraf prinsip pemisahan cabang kuasa sebagai antara struktur asas Perlembagaan Persekutuan justeru tidak boleh dikeluarkan daripada kerangka undang-undang.

Penghakiman di mahkamah tertinggi negara itu membolehkan pandangan mahkamah dalam kes Teh Cheng Poh dan seumpamanya disemak semula dan pemakaiannya dibaca secara bersyarat.

Justeru, titah Yang di-Pertuan Agong agar cadangan pembatalan ordinan oleh Jemaah Menteri dibentang untuk dibahaskan di Parlimen adalah nasihat bijaksana untuk memastikan prinsip pemisahan cabang kuasa membentuk sebahagian struktur asas Perlembagaan Persekutuan dihormati.

Kaedah itu pendekatan terbaik dan termaktub di bawah Perkara 150(3), di samping dapat mengelakkan tohmahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Penulis adalah Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS), Universiti Malaysia Pahang

-BH