‘Vape RM1 jerat remaja ke lembah dadah’ – MCPF

Estimate Reading Time: 2 minutes

PENDANG: Hanya dengan RM1, remaja kini boleh mendapatkan satu titis vape yang dibimbangi mengandungi bahan terlarang, sekali gus menjerat mereka ke arah penagihan dadah.

-Advertisement-

Pengerusi Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr Zulkifly Mohamad, berkata trend itu sangat membimbangkan dan kian menular dalam kalangan pelajar sekolah.

“Sekarang dengan RM1 pun sudah boleh dapat satu titis vape dan ada vape yang dicampur bahan terlarang.

-Advertisement-

“Kegiatan ini sukar dikesan tetapi apabila sudah rosakkan saraf otak anak kita, masa itu sudah terlambat,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Sungai Rambai di sini, hari ini.

Zulkifly berkata, bahan terlarang dalam vape ini memberi kesan terus kepada sistem saraf dan otak, menyebabkan kerosakan kekal yang sukar dipulihkan, berbeza dadah konvensional yang masih boleh dirawat jika dikesan awal.

Katanya, pengedaran vape dicampur bahan berbahaya kini mudah diperoleh remaja kerana dijual tanpa kawalan, malah sering dipasarkan dalam bentuk titisan yang sukar dikesan.

“Jadi, ibu bapa dan guru perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak, terutama jika mula menunjukkan kelainan seperti murung, agresif atau sering menyendiri,” katanya.

Sementara itu, Zulkifly menyarankan undang-undang berkaitan vape dikaji semula, terutama membabitkan produk dicampur dadah, supaya pengedar dan penjual dapat dihadapkan ke muka pengadilan dengan lebih tegas.

“Ini bukan soal rokok elektronik biasa, sebaliknya vape dicampur dadah seperti syabu dan ‘mushroom’ yang merosakkan otak anak kita dalam diam.

“Jadi, perlu ada undang-undang lebih kukuh supaya tindakan boleh diambil terhadap pengedar,” katanya.

Zulkifly berkata, MCPF Kedah kini bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) melaksanakan kajian menyeluruh di Pendang selepas merekodkan masalah dadah tinggi di negara ini.

“Pendang dipilih jadi model perintis kerana kesnya tinggi. Kajian ini bantu kumpul data tepat mengenai pembabitan keluarga dan remaja dalam dadah, ketum, vape serta gejala sosial lain.

“Usaha ini menunggu peruntukan yang sedang diusahakan menerusi MCPF dan beberapa kementerian berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Katanya, pendekatan kali ini bukan sekadar memberi ceramah umum, tetapi intervensi secara bersasar kepada kumpulan kecil yang berisiko tinggi.

“Kita akan kenal pasti 20 hingga 30 individu yang boleh dibantu secara dekat, beri bimbingan dan nasihat,” katanya.
-BeritaHarian