HANGZHOU: Kemeriahan Sukan Asia di Hangzhou ini mencapai kegemilangannya tersendiri dengan teknologi moden yang cuba diserlahkan oleh penganjur namun penduduk tempatan mula mempersoalkan kos penganjuran temasya itu.
Penganjur tidak mendedahkan perbelanjaan untuk mengelolakan temasya itu, walaupun kerajaan Hangzhou berkata ia membelanjakan lebih 200 bilion yuan (RM128.95 bilion) dalam tempoh lima tahun hingga 2020 untuk infrastruktur pengangkutan, stadium, penginapan dan kemudahan lain.
Antara yang menjadi tumpuan pada temasya itu kali ini adalah acara berbasikal. Velodrom di Pusat Sukan Chun’an Jieshou dilaporkan menelan belanja 320 juta (RM205 juta).
Ia adalah sebuah velodrom pasang siap terletak di Perbandaran Jieshou, Daerah Chun’an.
Namun, velodrom yang bernilai RM205 juta itu akan dirobohkan apabila tamatnya temasya Sukan Asia dan Para Asia selepas ini.
Mengambil “Seekor ikan melantun menghadap matahari pagi, mutiara bersinar di antara ribuan pulau” sebagai konsep reka bentuk, velodrom ini berbentuk hemisfera, seperti mutiara yang timbul di atas air.
Acara trek berbasikal Sukan Asia Hangzhou akan diadakan dari 26 September hingga 29 September, di mana atlet akan bersaing untuk merebut 12 pingat emas.
Di Velodrom, pelumba trek berlumba melawan arah jam mengelilingi trek tertutup sepanjang 250m. Terdapat beberapa acara dan jarak berbeza yang menguji kelajuan, ketahanan dan kerja berpasukan.
Selepas ditunda setahun kerana COVID-19, bandar timur Hangzhou, akan menjadi acara sukan terbesar China dalam tempoh lebih sedekad, dengan lebih 12,000 atlet dari 45 negara bertanding membabitkan 40 sukan.
-BeritaHarian