Victor terus mengeluh Kedah tak cukup pemain

Estimate Reading Time: < 1 minute

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa akur dengan situasi semasa dengan hanya menggunakan pemain yang masih komited bagi membantu pasukan bagi aksi Liga Super berdepan KL City di Stadium Darul Aman malam esok.

-Advertisement-

Ia susulan Sang Kenari masih lagi dibelenggu kekurangan pemain dalam senarai menjalani latihan sekali gus menyukarkan perancangan taktikal mahu dicatur ketua jurulatih sementara, Victor Andrag.

-Advertisement-

Menurut Victor, beliau kini hanya bergantung kepada senarai terhad pemain bagi mempersiapkan pasukan untuk bangkit memburu tiga mata selepas tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan pada 26 Februari lalu.

“Bila kita nak buat sesuatu perancangan, ada dalam kalangan pemain utama tidak datang, jadi bagaimana kami mahu membuat persediaan yang rapi?

“Ini masalah sejak hari pertama saya kendalikan pasukan dimana jumlah pemain tidak cukup untuk latihan dan apa yang saya boleh buat?

“Saya tidak boleh paksa mereka, dan jika mereka komited dan jika sekejap datang dan kemudian tak datang, itulah yang menyukarkan keadaan sebelum menghadapi Negeri Sembilan FC yang lalu.

“Kita juga agak kekurangan daripada segi jumlah pemain import. Jadi saya terpaksa ‘top up’ dengan pemain yang lain dalam barisan simpanan yang ternyata menyukarkan kami untuk mengimbangi momentum yang diperlukan dalam pasukan,” katanya.

Victor juga berkata, setakat latihan yang diadakan, hanya kira-kira 12 hingga 15 pemain senior yang hadir.
-Beritaharian