Warga alami alahan disyor ambil vaksin Sinovac-CoronaVac

Estimate Reading Time: < 1 minute

SINGAPURA: Penerima suntikan yang mengalami alahan selepas mengambil vaksin mRNA Covid-19 seperti Pfizer-BioNTech atau Moderna, disyorkan mengambil vaksin Sinovac-CoronaVac.

-Advertisement-

Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary, berkata pihak kementeriannya sudah menubuhkan program bagi golongan itu disuntik di hospital awam supaya dapat dipantau dengan teliti.

“Individu ini akan dianggap sebagai sudah menjalani vaksinasi penuh selepas mengambil vaksin Sinovac.

“Golongan ini juga boleh memilih untuk menunggu bagi vaksin Novavax yang akan dihantar menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Dr Janil berkata demikian di Parlimen semalam sebagai menjawab pertanyaan mengenai individu yang dihalang daripada mengambil dos kedua vaksin akibat alahan serta kedudukan terkini mengenai usaha negara mendapatkan vaksin Novavax.

Beliau menjelaskan, kementeriannya dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sedang bekerjasama dengan Novavax untuk mempermudahkan penyerahan kawal selia.

“Meskipun kita mengiktiraf keperluan mempermudahkan akses vaksin tepat pada masanya, penilaian saintifik terhadap kualiti, keselamatan dan keberkesanannya tidak boleh ditolak ansur,” katanya.

-Advertisement-

“HSA sedang menjalankan semakan teliti dan menyeluruh terhadap data vaksin daripada Sinovac China, untuk meninjau sama ada vaksin itu boleh disertakan dalam program vaksinasi negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberikan perkembangan terkini mengenai program vaksinasi negara, yang mana 61 peratus penduduk sudah menamatkan proses vaksinasi dua dos penuh sehingga Sabtu lalu.

Selain itu, juga di Parlimen semalam, Menteri Pendidikan, Chan Chun Sing, menjelaskan bahawa Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi COVID-19 (EC19V) sedang memantau percubaan vaksinasi terhadap kanak-kanak bawah usia 12 tahun.

“Jawatankuasa ini akan menilai sama ada vaksin ini sesuai diberikan kepada kanak-kanak bawah usia 12 tahun dan akan menyarankan kepada Kementerian Kesihatan pada masa yang sesuai,” katanya. – AGENSI

-BH