Yonnyboii masih ‘bernyawa’, sibuk kerja belakang tabir

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Biarpun nama penyanyi Yonnyboii seperti tenggelam timbul, penyanyi lagu Sakit itu tetap aktif dan sedang sibuk berkarya.

-Advertisement-

Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata, dia lebih cenderung ke arah pembikinan lagu untuk penyanyi lain, selain fokus kepada keluarga selepas menimang anak pertama.

“Saya sibuk dengan kerja belakang tabir, tapi saya juga mahu keluarkan produk sendiri. Insya-Allah, saya akan keluarkan single baharu, bulan depan.

“Lagu ini agak lambat dikeluarkan kerana selama setahun setengah, saya lebih banyak fokus kepada keluarga, terutama anak yang masih kecil. Sekarang, anak sudah agak besar, jadi saya ada masa untuk berkarya,” katanya ditemui pada sidang media Latihan Pestapora, di ibu negara, baru-baru ini.

Yonnyboii berkata, tanggungjawab dipikul juga semakin besar selepas bergelar bapa, justeru mahu menjalankan amanah dengan sebaiknya.

“Saya mahu melihat momen anak membesar depan mata, jadi saya mahu lebih fokus pada anak berbanding kerjaya dalam tempoh beberapa tahun ini, namun tidaklah meninggalkannya,” katanya.

Dalam pada itu, Yonnyboii tidak merasakan isterinya, Nik Nazira Narriman dan anaknya mengehadkan pergerakannya sebagai anak seni.

“Bagi saya, isteri adalah tulang belakang paling kuat. Dia banyak tolong dan penguat semangat. Pergi mana pun isteri menemani saya.

-Advertisement-

“Kami seperti belangkas. Kami juga susah nak tinggalkan anak sebab kurang percaya pada orang lain.

“Kami tiada pengasuh, semuanya buat sendiri. Sekarang banyak sangat isu, jadi kami takut. Kalau sibuk, kami minta tolong ibu mentua menjaganya,” katanya.

Sementara itu, Yonnyboii berkata, Latihan Pestapora yang bakal berlangsung di ibu negara pada 26 Julai akan menyanyikan lagu baharu.

“Lagu baharu ini adalah lagu duet bersama seorang penyanyi legenda, tapi saya tak boleh kongsikan dahulu. Lagu ini kami buat bersama dan kali pertama bekerjasama,” katanya.

Latihan Pestapora, festival muzik anjuran Hitman Solutions dan penganjur dari Indonesia, Boss Creator.

Selain Yonnyboii, artis lain yang bakal tampil persembahan termasuklah Bittersweet, Bunkface, Dolla, SonaOne, Salammusik dan ramai lagi.

Penyanyi dari Indonesia pula membabitkan Feast, Hindia, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Kunto Aji dan Pamungkas.
-BeritaHarian