KUALA LUMPUR: Perjuangan pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, berakhir di peringkat suku akhir Masters Thailand sebentar tadi selepas terpaksa menarik diri pada set penentuan dipercayai akibat kecederaan.
-Advertisement-
Zii Jia terikat 1-1 dengan pilihan kedua dari Indonesia, Alwi Farhan, namun tidak dapat meneruskan aksi pada set penentuan, sekali gus membolehkan Alwi mara ke separuh akhir untuk menentang rakan senegaranya, Moh Zaki Ubaidillah.
Zaki pula menunjukkan prestasi cemerlang apabila menyingkirkan pilihan keempat dari Kanada, Brian Yang, 16-21, 21-18, 21-15.
Dalam pertemuan pertama antara Zii Jia dan Alwi, bekas pemain nombor dua dunia itu mempamerkan kualitinya dengan mendominasi set pertama 21-10 hanya dalam masa 12 minit.
Namun, Zii Jia bermula perlahan pada set kedua, ketinggalan 1-9 dan menuju ke interval dengan kedudukan 2-11. Beliau cuba bangkit dan merapatkan jurang kepada 10-15, sebelum mengejar sehingga 15-17.
-Advertisement-
Alwi bagaimanapun terus mengutip mata sehingga menamatkan set kedua 21-15, sekaligus memaksa set penentuan. Set penentuan tidak dapat dilangsungkan apabila Zii Jia, yang kini menduduki ranking ke-79 dunia, tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan.
Sebagai rekod, ini merupakan pencapaian terbaik Zii Jia tahun ini apabila mara sehingga ke suku akhir Masters Thailand, berbanding tiga kejohanan terdahulu di mana beliau kandas lebih awal.
Zii Jia tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Malaysia dan Terbuka India, sebelum tewas di pusingan 16 Masters Indonesia.
-BeritaHarian