420,000 hektar ladang terbiar,… kenapa generasi muda tak minat menoreh getah?

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Tinjauan pendapat yang dibuat BH semalam berhubung faktor utama yang menyebabkan generasi muda kurang berminat dalam sektor perladangan getah adalah disebabkan kadar upah yang murah serta tidak berbaloi.

-Advertisement-

Tinjauan menerusi laman Facebook (FB) dan X (sebelum ini dikenali Twitter) bertajuk: Kenapa generasi muda tidak berminat bekerja dalam perladangan getah; dengan tiga pilihan jawapan iaitu upah tak berbaloi, kerja tak popular dan kerjaya tiada masa hadapan.

Sehingga jam 8 pagi tadi, daripada 3,000 undian yang diperoleh menerusi FB, majoriti pembaca iaitu 83 peratus memilih kadar upah yang tidak berbaloi.

Sebanyak 11 peratus pengguna memilih kerja tak popular, manakala enam peratus memilih kerjaya yang tiada masa hadapan.
Di platform X pula, daripada 281 pengundi, 69.8 peratus memilih upah tak berbaloi, kerja tak popular (19.2 peratus) dan kerjaya tiada masa hadapan (11 peratus).

Menerusi ruangan komen di FB, majoriti netizen menyatakan faktor harga getah yang begitu murah dan pendapatan hasil daripada sektor berkenaan yang tidak setimpal dengan kos sara hidup menyebabkan mereka tidak berminat menceburi sektor ini.

Ada pembaca juga menyatakan bahawa kebanyakan generasi muda ketika ini sudah mempunyai tahap pendidikan yang tinggi dan justeru itu, kecenderungan mereka lebih memilih kerjaya yang mampu memberi gaji lumayan.

“Cuba pandang ke belakang sikit tahun 60-an hingga 90-an, kenapa ramai yang minat perladangan getah ini, sebab majikan masa itu semua yang best-best, Guthrie, Dunlop, dan lain-lain yang owner (pemilik) dari luar negara, mereka jaga kebajikan pekerja-pekerja, sekarang, harga getah, benefits (faedah)?,” kata seorang netizen, Pream Kumar Narayanan.

-Advertisement-

Muhammad Atif pula berkata, “Semuanya di atas (upah tak berbaloi, kerja tak popular, kerjaya tiada masa hadapan), memang tak berbaloi. Hasil lambat, cepat rosak, harga murah, kurang berdaya saing sebab ada getah sintetik yang bagus dan harga mahal untuk production (pengeluaran). Baik sodok jer pokok getah tu tanam pisang.”

Pengguna Facebook Wan Mar pula berkata: “Kerja tu tak popular, kalau letak gaji basic (asas) 2K (RM2,000) pun belum tentu orang tempatan nak kerja.

“Orang Malaysia nak kerja selesa, glamer (popular), duduk office (pejabat), ada aircond (penyaman udara). Kerja-kerja berat macam ini orang muda tak minat, bila majikan ambil pekerja asing kita marah. Ini hakikat, kena terima. Masyarakat kita dah demand (memilih),” katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Faizul Yahya, berkata pada tahun 2024 ini sepatutnya harga komoditi getah meningkat kepada RM5 untuk sekilogram.

“Itu pun bukannya penoreh jadi kaya raya, cuma sekadar seimbang dengan harga barang,” katanya.

Pengguna Facebook Shukri Ri pula berkata: “Bawa naik harga sekerap RM5 ke atas. Mesti ramai nak join (sertai). Bantuan musim tengkujuh bagi terus dekat penoreh terutama warga emas.

“Ini kalau tiada kad hijau, tak dapatlah bantuannya. Sesetengah penoreh bukan tak mahu buat, tetapi majikan dah buat dan ada majikan yang tak mahu buat,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427