KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan keuntungan yang diraih pada urus niaga Isnin untuk dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini.
-Advertisement-
Ia disokong oleh permintaan kukuh untuk mata wang tempatan itu berserta peningkatan harga minyak mentah, kata seorang penganalisis.
Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan mengukuh 60 mata asas kepada 4.0570/0630 bebanding dolar AS daripada 4.0630/0680 ketika ditutup petang semalam.
Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent naik 0.48 peratus untuk diniagakan pada AS$60.85 setong.
Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata ringgit pada kebiasaannya menikmati semua kelebihan ketika harga minyak melonjak, tetapi minggu ini lebih kepada minggu penentu bagi unit tempatan berkenaan.
-Advertisement-
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.
Unit tempatan ini susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0453/0501 daripada 3.0421/0465 ketika ditutup pada Isnin petang dan lemah berbanding euro kepada 4.8911/8996 daripada 4.8874/8942.
Ringgit merosot berbanding yen kepada 3.8583/8647 daripada 3.8472/8523 dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.5796/5887 daripada 5.5683/5764 sebelumnya.
-BERNAMA