KUALA LUMPUR: MR DIY Group (M) Bhd mengekalkan sasaran pembukaan 155 cawangan baharu tahun ini, merangkumi 130 kedai Mr DIY dan 25 kedai di bawah jenama KKV, selain merancang mengubah suai lebih 100 kedai sedia ada bagi meningkatkan produktiviti jualan serta menarik lebih ramai pelanggan.
Penganalisis RHB Investment Bank, Soong Wei Siang, berkata pelan pengembangan rangkaian kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan kumpulan, sejajar jangkaan peningkatan perbelanjaan pengguna yang disokong pertumbuhan gaji, keadaan makroekonomi stabil dan sokongan fiskal berterusan.
“Keputusan kewangan tahun kewangan 2025 adalah sejajar jangkaan apabila keuntungan bersih teras meningkat 12 peratus tahun ke tahun kepada RM636 juta, bersamaan 100 peratus daripada ramalan penganalisis dan jangkaan pasaran.
“Hasil tahunan pula berkembang tujuh peratus kepada sekitar RM5 bilion, didorong pembukaan 121 kedai bersih baharu, walaupun pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) berada pada negatif dua peratus.
“Margin keuntungan kasar meningkat 0.6 mata peratusan kepada 47.3 peratus hasil kadar pertukaran asing yang memihak dan skala operasi lebih besar, sekali gus menyumbang peningkatan 10 peratus keuntungan kasar,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Wei Siang berkata, walaupun perbelanjaan operasi meningkat seiring kenaikan keuntungan kasar susulan pelarasan gaji minimum, keuntungan bersih teras tetap berkembang dua angka, mencerminkan disiplin kawalan kos serta kesan kecekapan operasi yang lebih baik.
“Bagi suku keempat 2025, jualan meningkat tujuh peratus suku ke suku disokong faktor bermusim hujung tahun, manakala keuntungan bersih melonjak 18 peratus hasil kecekapan operasi, kawalan kos yang ketat serta perubahan kadar cukai efektif.
“Syarikat turut mengumumkan dividen sesaham sebanyak lapan sen bagi tahun kewangan 2025 berbanding lima sen tahun sebelumnya, mewakili nisbah pembayaran sekitar 120 peratus dan mencerminkan komitmen mengekalkan pulangan dividen menarik kepada pemegang saham,” katanya.
-Advertisement-
Dari segi prospek, RHB Investment Bank mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham kumpulan dengan harga sasaran RM2.20 berbanding RM1.87 sebelum ini, mencerminkan potensi kenaikan kira-kira 18 peratus serta hasil dividen sekitar empat peratus bagi tahun kewangan 2026.
Bank pelaburan itu juga menjangka sentimen pengguna bertambah baik pada 2026, sekali gus menyokong pertumbuhan perbelanjaan budi bicara yang boleh dimanfaatkan kumpulan melalui rangkaian kedai luas serta kepelbagaian produk.
Namun, potensi peningkatan margin mungkin terhad berikutan strategi promosi harga lebih agresif untuk meningkatkan kunjungan pelanggan.
Seiring itu, ia mengekalkan pertumbuhan jualan kedai sama sekitar satu peratus bagi tahun kewangan 2026, manakala pengembangan rangkaian melalui pembukaan 155 cawangan baharu dan program pengubahsuaian lebih 100 kedai dijangka menjadi pemacu utama produktiviti jualan serta pertumbuhan jangka sederhana.
Secara keseluruhan, RHB Investment Bank percaya kenaikan harga saham MR DIY setakat tahun ini masih mempunyai ruang pertumbuhan, disokong kedudukan kukuh kumpulan untuk memanfaatkan pemulihan perbelanjaan pengguna, sentimen sektor yang positif serta strategi pengembangan rangkaian berterusan.
Bagaimanapun, antara risiko utama syarikat termasuklah kelewatan pelaksanaan pelan pengembangan, gangguan rantaian bekalan, persaingan sengit serta sentimen pengguna yang kekal lemah lebih lama daripada jangkaan.
-BeritaHarian