Keputusan hukuman pemandu Honda Jazz ditangguhkan ke 20 Mei

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN: Prosiding keputusan hukuman terhadap remaja yang didakwa memandu Honda Jazz secara berbahaya sehingga menyebabkan tiga maut di Mahkamah Majistret, hari ini terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain.

Dalam prosiding tertutup, Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Faizudin Ahmad Zaini memberitahu mahkamah yang laporan akhlak masih belum dapat disiapkan.

Peguam Johan Radzi memaklumkan, Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah menangguhkan keputusan kepada 20 Mei depan selepas menerima permintaan daripada Faizudin.

“Beliau (Faizudin) memberitahu mahkamah ada laporan awal yang belum siap kerana pihak JKM perlu buat rujukan silang dengan hospital.

“Jadi mahkamah memutuskan 20 Mei depan untuk keputusan fakta kes dan penyediaan laporan akhlak,” katanya ditemui di luar kamar mahkamah, hari ini.

Remaja masih berkerusi roda

Terdahulu, meskipun hampir setahun berlalu, remaja terbabit yang kini berusia 18 tahun dilihat masih hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda dan ditemani ibu bapa serta ahli keluarga.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainuddin.

-Advertisement-

Pada 17 Disember lalu, remaja berkenaan menukar pengakuan kepada bersalah ketika pertuduhan dibacakan semula ketika prosiding pengurusan kes sebelum mahkamah menetapkan tarikh hari ini untuk fakta kes dan penyediaan laporan akhlak.

Ketika didakwa di mahkamah pada 22 April tahun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah dan peguamnya memberitahu akan mengemukakan representasi.

Bagaimanapun pada 19 November lalu, Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini memaklumkan yang Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.

Kesalahan itu dilakukan jam 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights di sini pada 6 Mac tahun lalu.

BeritaHarian