KUALA LUMPUR, 5 MAC 2026 (The Capital Post) – Bekas pegawai kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, iaitu penganalisis politik James Chai, tampil mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengeluarkan notis mengesan terhadapnya bagi membantu siasatan.
Chai yang juga dikenali sebagai Chai Jin Shern mendakwa kenyataan bahawa beliau sedang dikesan oleh SPRM seolah-olah menggambarkan dirinya cuba mengelak daripada pihak berkuasa, sedangkan menurutnya beliau berada di luar negara dan sedia memberikan kerjasama sekiranya dihubungi secara rasmi.
Beliau turut menyatakan bahawa pengumuman awam mengenai notis mengesan itu memberi persepsi negatif terhadap dirinya, sekali gus menimbulkan tanggapan bahawa beliau sedang disiasat atas kesalahan tertentu.
Bagaimanapun, SPRM menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Chai adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan masyarakat. Suruhanjaya itu menjelaskan bahawa notis mengesan individu atau saksi adalah prosedur biasa dalam siasatan apabila usaha untuk menghubungi individu terbabit tidak berjaya.
-Advertisement-
Menurut SPRM, pegawai penyiasat telah beberapa kali cuba menghubungi Chai melalui nombor telefon yang dipercayai miliknya sejak 24 Februari, namun tidak menerima sebarang maklum balas dan talian tersebut didakwa telah menyekat nombor pegawai penyiasat.
SPRM juga menegaskan bahawa notis mengesan tidak bermaksud seseorang individu itu bersalah, sebaliknya hanya bertujuan mengesan saksi atau individu yang diperlukan bagi membantu siasatan.
Dalam masa sama, suruhanjaya itu menggesa Chai supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya tiada perkara yang perlu disembunyikan, sambil menegaskan bahawa semua proses siasatan dijalankan secara profesional dan berlandaskan undang-undang. – The Capital Post