Aidilfitri: 16 syarikat di TBS mohon permit sedia 90 bas tambahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Enam belas syarikat pengendali bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, di sini, memohon permit Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi menyediakan 90 bas tambahan untuk Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Maju Terminal Management and Service (TMAS) Sdn Bhd, Shazwan Mohamad, berkata penyediaan bas tambahan itu bertujuan menampung permintaan penumpang ke seluruh destinasi.

Bagaimanapun, beliau berkata kesediaan ini bergantung kepada pengendali bas untuk menyediakan bas tambahan.

“Setakat ini, pihak kami sudah menyediakan lebih 400,000 tiket bagi tempoh 17 hari perjalanan sempena musim sambutan Aidilfitri antara 14 hingga 30 Mac ini.

“Lebih dari 80 peratus daripada tiket itu sudah terjual terutamanya bagi tiket waktu puncak pada musim perayaan,” katanya ketika ditemui di TBS hari ini.

-Advertisement-

Tambah Shazwan, penjualan tiket tertinggi membabitkan laluan pantai timur seperti Kota Bharu, Terengganu dan Kuantan, dengan kebanyakannya habis dijual terutama tarikh perjalanan pada 18 hingga 22 Mac.

Laluan utara juga, katanya laris seperti Penang, Ipoh dan sungai Petani, manakala laluan selatan mendapat permintaan tinggi terutamanya bagi laluan Johor Bharu

“Secara ringkas, 98 peratus tiket untuk laluan pantai timur sudah terjual, diikuti 60 peratus laluan utara dan 40 peratus laluan selatan.

Sementara itu, Shazwan menasihati pengguna perkhidmatan bas supaya hadir ke terminal sekurang-kurangnya sejam awal sebelum berlepas supaya urusan perjalanan lebih teratur untuk pulang beraya. – BeritaHarian