IPOH 2 April 2026 (The Capital Post) – Persiapan akhir bagi penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 di Perak berjalan lancar menjelang pelaksanaannya yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 5 April ini.
Program yang bakal diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah itu kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dengan pelbagai pengisian dan kemudahan telah disusun bagi memastikan kelancaran acara sepanjang tiga hari berlangsung.
Menurut penganjur, pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta pihak berkaitan telah menyelaras persiapan termasuk penyediaan reruai, logistik dan pengisian program yang menyasarkan penyertaan masyarakat setempat secara menyeluruh.
Sebanyak 34 reruai melibatkan kementerian dan agensi akan dibuka, selain menyediakan pelbagai perkhidmatan terus kepada rakyat termasuk program komuniti, khidmat sosial dan peluang pekerjaan.
-Advertisement-
Selain itu, lebih 50 slot libat urus serta ratusan titik sentuhan disediakan bagi memberi ruang kepada orang ramai berinteraksi secara langsung dengan wakil kerajaan serta mendapatkan maklumat berkaitan dasar dan inisiatif semasa.
Program ini dijangka menarik kehadiran sehingga 100,000 pengunjung dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 4 April, sekali gus menjadi platform penting untuk merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat.
Penganjuran PMR 2026 juga dilihat sebagai kesinambungan usaha kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan secara terus kepada rakyat serta meningkatkan kefahaman mengenai pelbagai inisiatif yang dilaksanakan di peringkat nasional dan negeri.-The Capital Post