SANDAKAN 22 April 2026 (The Capital Post) – Seorang pemuda tampil memohon maaf secara terbuka kepada pasukan bomba selepas tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat dalam satu video tular ketika kebakaran besar melanda Kampung Bahagia, baru-baru ini.
Pemuda berkenaan mengakui kata-kata tersebut dilontarkan dalam keadaan emosi yang tidak stabil selepas menyaksikan suasana huru-hara di lokasi kejadian, termasuk penduduk yang panik dan cuba menyelamatkan diri daripada api yang marak.
Menurutnya, tekanan dan kesedihan melihat keadaan terutama melibatkan kanak-kanak yang ketakutan menyebabkan beliau hilang kawalan dan tanpa sedar mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya.
Beliau bagaimanapun menarik semula kenyataan tersebut selepas menyedari keadaan sebenar, termasuk usaha anggota bomba yang bertungkus-lumus memadam kebakaran di lokasi kejadian walaupun berdepan pelbagai kekangan.
Insiden kebakaran yang berlaku sebelum ini memusnahkan kira-kira 1,000 rumah di kawasan perkampungan atas air itu, sekali gus menjejaskan ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
-Advertisement-
Video yang memaparkan tindakan pemuda tersebut sebelum ini tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi, namun permohonan maaf yang dibuat dilihat sebagai langkah bertanggungjawab bagi memperbetulkan keadaan.
Dalam masa sama, pihak bomba sebelum ini memaklumkan bahawa operasi pemadaman berdepan cabaran besar termasuk laluan sempit, kekurangan kemudahan serta faktor angin yang mempercepatkan penyebaran api.
Kejadian ini turut menjadi peringatan mengenai tekanan emosi yang boleh berlaku dalam situasi bencana, selain pentingnya menghargai usaha pasukan penyelamat yang bertugas dalam keadaan berisiko tinggi. -The Capital Post