Pesawah Tuntut Keadilan, PUTRA Sokong Himpunan Aman 3 Mei

Estimate Reading Time: 2 minutes

ALOR SETAR 30 April 2026 (The Capital Post) – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyatakan sokongan penuh terhadap Himpunan Aman Pesawah yang dijadual berlangsung pada 3 Mei ini di Kampung Alor Setol, Kedah bagi memperjuangkan nasib golongan pesawah yang didakwa semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup dan operasi pertanian.

Presiden PUTRA dalam kenyataan medianya berkata, himpunan berkenaan bukan bersifat politik sebaliknya merupakan suara kebangkitan rakyat khususnya golongan pesawah yang berdepan tekanan ekonomi semakin serius.

Menurut beliau, kenaikan harga diesel, kos jentera, baja serta racun menyebabkan pesawah kini berdepan situasi sukar sehingga ada yang bekerja tanpa memperoleh keuntungan.

“Hari ini harga lantai padi sekitar RM1,500 per tan metrik, namun kos pengeluaran juga mencecah jumlah sama. Ini bermakna pesawah bekerja tanpa keuntungan,” katanya.

Beliau turut menyamakan situasi dihadapi pesawah ketika ini dengan kebangkitan rakyat di Baling, Kedah pada tahun 1974 yang tercetus akibat kemiskinan dan kejatuhan harga getah ketika itu.

Tambah beliau, tuntutan pesawah supaya harga lantai padi dinaikkan kepada sekitar RM1,800 per tan adalah munasabah, malah PUTRA mencadangkan kenaikan sehingga RM2,000 per tan bagi memastikan golongan itu dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mempersoalkan keutamaan kerajaan dalam menangani isu melibatkan pesawah dan sektor makanan negara.

-Advertisement-

“Negara tidak boleh bercakap soal keterjaminan makanan jika golongan pesawah terus tertekan dan tidak dibela,” katanya.

Beliau turut mengkritik pelaksanaan sistem fleet card diesel yang disifatkan masih menyusahkan pesawah di lapangan selain mendakwa banyak bantuan kerajaan hanya baik di atas kertas namun sukar dinikmati rakyat.

Menurutnya lagi, pesawah tidak meminta simpati sebaliknya menuntut keadilan asas termasuk harga lantai yang munasabah dan kos operasi yang terkawal supaya mereka dapat bekerja dengan bermaruah.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan menyusun semula sistem pencen ahli politik sebagai langkah penjimatan bagi membantu meningkatkan sokongan kepada sektor pertanian dan pesawah.

“Himpunan ini adalah amaran awal bahawa rakyat semakin kecewa jika suara pesawah terus dipandang ringan,” katanya.

Himpunan Aman Pesawah dijangka berlangsung pada Ahad ini jam 9 pagi di Kampung Alor Setol, Kedah dengan penyertaan pelbagai pihak yang mahu melihat kebajikan pesawah diberikan perhatian sewajarnya. – The Capital Post