KOTA BHARU 30 April 2026 (The Capital Post) – Seorang pelajar yang sebelum ini cedera selepas terbabit dalam insiden dirempuh kenderaan di hadapan surau sebuah sekolah menengah di Kota Bharu dilaporkan sudah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan.
Mangsa yang mengalami beberapa kecederaan akibat kejadian berkenaan sebelum ini menjalani rawatan serta pemantauan rapi di hospital termasuk prosedur pembedahan bagi merawat kecederaan dialami.
Difahamkan, keadaan pelajar terbabit menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan susulan daripada pasukan perubatan, sekali gus membolehkan beliau pulang untuk meneruskan proses pemulihan di rumah.
-Advertisement-
Sebelum ini, kejadian berkenaan mencetuskan perhatian ramai selepas sebuah kenderaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa pelajar di hadapan surau sekolah terbabit. Insiden itu turut mengorbankan seorang pelajar perempuan di lokasi kejadian.
Pihak berkuasa sebelum ini memaklumkan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk aspek kecuaian dan faktor teknikal yang mungkin menyumbang kepada kemalangan tersebut. -The Capital Post