FAMA Stabilkan Harga Cili Merah

Estimate Reading Time: < 1 minute

BANDAR BARU SELAYANG, 6 Mei 2026 (The Capital Post) – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah melaksanakan langkah intervensi pasaran bagi menstabilkan harga cili merah di Pulau Pinang susulan penurunan harga ladang yang ketara sejak awal tahun ini.

Menurut kenyataan media FAMA Malaysia, penurunan harga tersebut berpunca daripada lebihan penawaran akibat peningkatan hasil tuaian tempatan yang dipengaruhi cuaca kering. Situasi ini telah memberi tekanan kepada harga di peringkat ladang serta menjejaskan pendapatan petani kecil.

Sebagai langkah menangani isu berkenaan, FAMA Pulau Pinang telah meningkatkan pembelian terus dari ladang bagi komoditi cili merah daripada 1 tan kepada 2 tan sehari. Selain itu, Program Kontrak Pemasaran (RPKP) turut digerakkan melibatkan kawasan utama seperti TKPM Ara Kuda, Perda Veggie Park dan Kepala Batas bagi memastikan lebihan bekalan dapat diserap ke dalam pasaran.

FAMA turut memperluaskan saluran pemasaran melalui Pasar Tani, Jualan Agro MADANI (JAM), Agrobazaar Kedai Keluarga Malaysia serta jualan khas mingguan di KOMTAR yang dijadualkan bermula 8 Mei 2026.

Sehingga 28 April 2026, sebanyak 99,675 metrik tan hasil pertanian termasuk cili merah telah dibeli melalui inisiatif intervensi tersebut bagi menyeimbangkan bekalan dan permintaan pasaran.

-Advertisement-

Ketua Pengarah FAMA, YBrs. En. Abdul Rashid Bahri berkata intervensi ini adalah susulan arahan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia dalam usaha membantu petani yang terkesan serta memastikan kestabilan bekalan makanan negara.

Beliau turut menegaskan FAMA komited mengekalkan keseimbangan antara pengeluar dan pengguna melalui pemantauan rantaian harga yang lebih efisien serta pengukuhan jaringan pemasaran sedia ada.

FAMA akan meneruskan pendekatan intervensi ini ke negeri-negeri lain sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kestabilan pasaran agromakanan negara, di samping menjamin harga yang lebih adil kepada pengguna serta pendapatan yang stabil kepada petani. -The Capital Post