PUTRAJAYA 11 Mei 2026 (The Capital Post) – Kerajaan memperkukuh pembangunan industri semikonduktor negara menerusi kerjasama strategik antara Malaysia dan Arm Holdings bagi meningkatkan keupayaan reka bentuk litar bersepadu atau integrated circuit (IC design) di Malaysia.
Menerusi inisiatif tersebut, beberapa syarikat tempatan termasuk Great Asic Technology Sdn. Bhd., SkyeChip Bhd. dan Oppstar Technology Sdn. Bhd. menerima akses kepada teknologi serta platform pengkomputeran Arm bagi mempercepat pembangunan produk semikonduktor tempatan.
Kerjasama itu melibatkan akses kepada Arm CSS (Compute Subsystems) dan Arm Flexible Access (AFA), sekali gus membuka peluang kepada syarikat Malaysia membangunkan harta intelek (IP) dan teknologi cip yang direka sepenuhnya dalam negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata langkah tersebut mencerminkan usaha Malaysia untuk bergerak lebih jauh dalam rantaian industri semikonduktor global, daripada hanya tertumpu kepada aktiviti pemasangan dan pembungkusan kepada pembangunan reka bentuk serta inovasi teknologi sendiri.
Menurut beliau, negara perlu membina kapasiti dalam pembangunan front-end semikonduktor termasuk menghasilkan reka bentuk cip dan IP tempatan bagi memastikan industri berteknologi tinggi negara terus berkembang secara mampan.
-Advertisement-
Kerjasama strategik Malaysia-Arm turut memberi fokus kepada pembangunan bakat tempatan menerusi sasaran melatih 10,000 tenaga mahir dalam bidang IC design selain memperluas akses syarikat tempatan kepada teknologi pengkomputeran moden.
Inisiatif tersebut selari dengan matlamat Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang menumpukan kepada pembangunan industri bernilai tinggi dan berteknologi maju.
Kementerian Ekonomi memaklumkan kejayaan kerjasama ini akan diukur berdasarkan penghasilan produk yang boleh dikomersialkan, peningkatan pendaftaran IP tempatan serta pertambahan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor semikonduktor negara. – The Capital Post