SHANGHAI 14 Mei 2026 (The Capital Post) – Malaysia terus memperkukuh komitmen terhadap agenda kesaksamaan gender dan pemerkasaan ekonomi wanita menerusi penyertaan aktif dalam Plenary Meeting of the Policy Partnership on Women and the Economy (PPWE) 2026 yang berlangsung di Shanghai Expo Center, Republik Rakyat China.
Delegasi negara diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, yang mengetengahkan pelbagai pandangan strategik Malaysia berkaitan pembangunan wanita dalam era ekonomi digital dan industri masa depan.
Pada hari pertama persidangan, Malaysia menyampaikan intervensi negara melibatkan dua fokus utama iaitu usaha memperkasa kesaksamaan gender dan ekonomi wanita melalui penyelidikan di rantau Asia Pasifik serta peningkatan penglibatan wanita dalam ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan industri baharu yang sedang berkembang pesat.
Delegasi Malaysia turut mengambil bahagian dalam sesi penggubalan 2026 Women and the Economy Forum Statement, yang bertujuan menyediakan kenyataan bersama sebagai antara dokumen utama forum berkenaan.
-Advertisement-
Penyertaan aktif negara dalam platform antarabangsa itu dilihat sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkukuh dasar pembangunan wanita secara lebih inklusif dan mampan, selain memastikan suara serta kepentingan wanita terus diberi perhatian dalam landskap ekonomi global.
Forum tersebut turut menjadi medan penting untuk memperluas jaringan kerjasama serantau dan antarabangsa dalam membincangkan cabaran serta peluang baharu yang dihadapi wanita dalam dunia pekerjaan dan ekonomi digital masa kini. – The Capital Post