KUALA TERENGGANU 21 Mei 2026 (The Capital Post) – Kerajaan Negeri Terengganu hari ini mengumumkan Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi Negeri Terengganu Fasa 1 sebagai langkah proaktif bagi menangani kesan ketidaktentuan ekonomi global susulan krisis di Asia Barat yang melibatkan Iran, Amerika Syarikat serta sekutunya.
Menurut kenyataan Menteri Besar Terengganu, pelaksanaan pelan tersebut dibuat berikutan peningkatan kos bahan api, logistik dan insurans yang telah memberi tekanan kepada harga barang serta rantaian bekalan, sekali gus memberi kesan kepada pengeluar, peniaga dan sektor ekonomi negeri.
Pelan berkenaan memberi fokus kepada usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri di samping menyokong kelangsungan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta membantu sektor pertanian, khususnya pengeluaran padi.
Antara inisiatif utama yang diperkenalkan ialah penilaian semula Jadual Kadar Harga (JKH) bagi bahan binaan terpilih serta penyelarasan kos kontrak berdasarkan perubahan harga semasa bagi memastikan kelangsungan projek pembangunan.
Kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek berskala kecil yang memberi impak tinggi serta mudah dilaksanakan bagi merangsang ekonomi tempatan dengan lebih cepat dan berkesan.
Selain itu, moratorium selama tujuh bulan akan diberikan kepada peminjam di bawah Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS), melibatkan 783 peminjam dengan jumlah pinjaman tidak dikutip sebanyak RM2.1 juta, selain tambahan dana RM2 juta bagi memperluas bantuan kepada lebih ramai usahawan.
-Advertisement-
Bagi sektor pertanian, moratorium turut diberikan kepada peminjam Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) bermula Mei 2026 hingga April 2027, melibatkan nilai pinjaman tidak dikutip sebanyak RM2.9 juta dengan kira-kira 400 penerima manfaat.
Dalam usaha meningkatkan pendapatan pesawah, kerajaan negeri turut memperkenalkan insentif RM100 bagi setiap tan metrik pengeluaran padi, dengan insentif maksimum RM1,000 bagi pengeluaran melebihi 10 tan metrik, yang dijangka memberi manfaat kepada 4,513 pesawah di seluruh negeri.
Pelan Belanjawan 2026 negeri juga akan diselaraskan semula bagi memastikan perbelanjaan lebih bersasar dan memberi impak maksimum kepada pengukuhan ekonomi rakyat.
Kerajaan negeri berharap semua inisiatif yang diumumkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan sasar, di samping memastikan pemulihan ekonomi negeri dapat dicapai secara berperingkat. – The Capital Post