PUTRAJAYA 21 Mei 2026 (The Capital Post) – Seramai 1,000 petugas diraikan dalam Majlis Apresiasi Sambutan Hari Pekerja 2026 sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi warga kerja yang memainkan peranan penting dalam menjayakan sambutan berkenaan.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh penghargaan itu diadakan bagi mengiktiraf usaha serta pengorbanan seluruh warga Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang bertungkus-lumus memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan program berjalan lancar.
Hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Sumber Manusia, Ramanan Ramakrishnan, bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Khairul Firdaus Akbar Khan, yang turut meluangkan masa menyantuni para petugas dan menghargai semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan sepanjang penganjuran Sambutan Hari Pekerja 2026.
-Advertisement-
Majlis tersebut turut menjadi platform bagi memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga kementerian selain mengiktiraf sumbangan kakitangan yang menjadi tulang belakang kejayaan program berkenaan.
Penghargaan yang diberikan dilihat sebagai dorongan penting dalam memperkasakan budaya kerja cemerlang serta meningkatkan motivasi warga kerja dalam memastikan agenda pembangunan sumber manusia negara terus diperkasa. – The Capital Post