Malaysia–Perancis Perkukuh Kerjasama Pertahanan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 26 Mei 2026 (The Capital Post) – YBhg. Datuk Mohd Yani bin Mohd Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini menerima kunjungan hormat daripada TYT Marc Abensour, Duta Besar Perancis di Malaysia di Wisma Pertahanan bagi memperkukuh hubungan pertahanan dua hala antara kedua-dua negara.

Pertemuan tersebut diadakan sebagai persediaan awal menjelang mesyuarat dua hala antara YB Menteri Pertahanan Malaysia dan rakan sejawatnya dari Perancis, TYT Catherine Vautrin, yang dijadualkan berlangsung di sela-sela Persidangan Shangri-La Dialogue pada minggu ini.

Dalam sesi berkenaan, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai kerjasama pertahanan sedia ada serta hala tuju baharu dalam memperkukuh hubungan strategik pada masa akan datang.

-Advertisement-

Selain itu, perbincangan turut menyentuh aspek pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia serta pembangunan industri pertahanan negara, selaras dengan aspirasi yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan Malaysia.

TKSU (D) turut merakamkan penghargaan kepada Perancis serta rakan-rakan strategik lain atas sumbangan berterusan dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara. – The Capital Post