Tiong King Sing Santuni Komuniti Gawai

Estimate Reading Time: < 1 minute

BINTULU 2 Jun 2026 (The Capital Post) – Sempena sambutan Hari Gawai 2026, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing telah mengadakan lawatan Ngabang Gawai ke beberapa rumah panjang di Bintulu bagi meraikan perayaan tersebut bersama komuniti setempat.

Lawatan berkenaan melibatkan kunjungan ke beberapa rumah panjang termasuk RH Jalan anak Seman, RH Saging anak Layang, RH Eyus anak Etek dan RH Tiut anak Usit yang menjadi medan untuk mengeratkan hubungan silaturahim, berkongsi kegembiraan serta menghargai keunikan budaya dan tradisi masyarakat Dayak yang diwarisi sejak turun-temurun.

Turut hadir memeriahkan sambutan ialah Ouyang Yujing yang berpeluang menyaksikan sendiri keunikan budaya Hari Gawai serta berinteraksi dengan komuniti tempatan di Sarawak.

Menurut YB Dato Sri Tiong King Sing, kehadiran delegasi dari China mencerminkan hubungan persahabatan yang erat antara Malaysia dan China, selain membuka ruang untuk memperkenalkan kekayaan warisan budaya Sarawak kepada masyarakat antarabangsa.

-Advertisement-

Beliau turut menegaskan bahawa semangat perpaduan, keharmonian dan saling menghormati yang diamalkan oleh rakyat Sarawak merupakan aset penting dalam memelihara kestabilan sosial serta memperkukuh sektor pelancongan dan kebudayaan negara.

Sambutan Hari Gawai juga dilihat sebagai platform strategik untuk mempromosikan warisan budaya masyarakat Dayak kepada pelancong tempatan dan antarabangsa, sekali gus menyokong pelaksanaan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. – The Capital Post