SEREMBAN, 4 Jun 2026 (The Capital Post) – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan secara rasminya dibubarkan pada 5 Jun 2026, Jumaat selepas Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 8.30malam pada 4 Jun 2026, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Aminuddin dilihat memasuki kediaman rasmi Menteri Besar pada kira-kira jam 11.05 malam selepas selesai menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, menamatkan spekulasi yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu mengenai masa depan pentadbiran negeri.
Negeri Sembilan kini menjadi negeri kedua membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri selepas Johor mengambil langkah sama pada 1 Jun lalu.
Pembubaran DUN berlaku susulan kemelut politik yang tercetus sejak April lalu apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan terhadap pentadbiran Aminuddin. Tindakan itu dikaitkan dengan pertikaian melibatkan institusi Undang dan isu berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz yang mencetuskan perdebatan dalam landskap politik Negeri Sembilan.
-Advertisement-
Walaupun beberapa usaha dilakukan bagi meredakan ketegangan, krisis berkenaan telah menjejaskan kedudukan kerajaan negeri sehingga mewujudkan persepsi bahawa pentadbiran Aminuddin beroperasi sebagai kerajaan minoriti, sekali gus meningkatkan tekanan untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Dengan pembubaran DUN kini berkuat kuasa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi menetapkan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi.
PRN Negeri Sembilan dijangka menjadi antara pertarungan politik paling sengit tahun ini apabila rakyat bakal menentukan hala tuju baharu negeri selepas kemelut politik dan institusi yang menggegarkan Negeri Sembilan sejak beberapa bulan kebelakangan ini. – The Capital Post.