Karnival KITA KUO UPSI Kembali Meriah

Estimate Reading Time: 2 minutes

Tanjong Malim, 4 Jun 2026 (The Capital Post) – Suasana kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kembali ceria dengan penganjuran Karnival Interaksi Tahunan Kolej Ungku Omar (KITA KUO): The Reunion Wave! yang berlangsung dengan penuh meriah. Program yang digerakkan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 25/26 ini berjaya menghidupkan semula keterujaan budaya kampus yang inklusif serta dinamik dalam kalangan penuntut universiti selepas dua tahun tidak dilaksanakan.

Gambar Persembahan pembukaan oleh Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS)

Acara yang berlangsung selama empat hari berturut-turut di Tapak Pesta KAB, Kampus Sultan Azlan Shah ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak penaja luar seperti Halakiri, U Mobile, Cha Galau, Yayasan Mr. DIY, dan Sugarbomb. Di samping itu, penyatuan erat bersama persatuan dalaman kampus termasuk Persatuan Geografi, Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah, Persatuan Pengajian Malaysia, Himpunan Mahasiswa Anak Kelantan, dan Majlis Anak Johor turut memantapkan lagi kelancaran program sebagai wadah integrasi mahasiswa.

Gambar Sesi fotografi majlis penutup

-Advertisement-

Penganjuran semula festival ini bukan sahaja menjadi pengubat rindu buat warga kolej, malah berfungsi sebagai platform efektif untuk merapatkan ukhuwah sesama penuntut. Selain menyajikan hiburan, karnival ini juga berupaya mencungkil potensi diri, mempertingkatkan kemahiran insaniah, dan menyuburkan semangat kekitaan yang tinggi melalui kepelbagaian aktiviti bersepadu yang disediakan.

Pelbagai lapisan masyarakat universiti dan komuniti setempat telah memberikan penyertaan yang amat menggalakkan sepanjang karnival ini berlangsung menerusi sembilan sub-program yang diatur khas. Antara pengisian menarik yang berjaya mencuri tumpuan termasuklah program kerohanian Faith Fest, kejohanan e-sukan MLBB x PUBG Fusion, festival muzik Pulse & Pause, ruang keusahawanan Rahmahpreneur Bizfest, kebudayaan Borneo Native Day, aktiviti santai KUO Luxe Leisure, serta pendedahan akademik menerusi Stemagika 3.0: Robo-Tech Zone. – The Capital Post