Program Mahabbah Rasul MMKUO Meriah

Estimate Reading Time: 2 minutes

Tanjong Malim, 4 Jun 2026 (The Capital Post) – Sebuah program keagamaan bertemakan “Mahabbah Rasul: Rindu Tanpa Sempadan” telah dilaksanakan dengan jayanya di Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Acara yang mendapat sambutan luar biasa ini digerakkan oleh Exco Modal Insan dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) Sidang 2025/2026, yang berjaya menyatukan golongan penuntut universiti bersama penduduk setempat sekitar daerah ini.

Gambar Persembahan qasidah oleh Syabab Al Mustofawiyyah

Inisiatif murni ini dianjurkan dengan hasrat yang mendalam bagi menyuburkan rasa kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW menerusi pengisian rohani seperti ceramah tausiyah dan persembahan qasidah. Antara slot utama yang berjaya menarik perhatian para hadirin ialah ceramah bertajuk “Tangisan Terakhir Buat Ummah” yang disampaikan oleh penceramah jemputan terkenal, Imam Muda Asyraf. Selain itu, majlis turut diserikan dengan alunan qasidah yang penuh penghayatan daripada kumpulan Syabab Al Mustafawiyyah.

Gambar Peserta Program Mahabbah Rasul

-Advertisement-

Kehadiran yang menggalakkan daripada semua lapisan peserta membuktikan bahawa aktiviti pengukuhan sahsiah berteraskan elemen keagamaan seumpama ini masih mendapat tempat yang istimewa di hati generasi muda. Di samping bertindak sebagai medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kampus dan masyarakat awam, penglibatan aktif dalam program ini turut memberikan impak yang sangat positif dalam membentuk nilai murni dan keperibadian diri yang mantap.

Menurut Pengarah Program, Faris Iman Abdul Razak, ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis penutup, pelaksanaan program berunsurkan kerohanian ini amat kritikal bagi membentuk modal insan yang seimbang. Beliau menegaskan bahawa usaha tersebut sangat penting dalam melahirkan barisan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam pencapaian akademik, malah memiliki keunggulan dari segi aspek sahsiah diri. – The Capital Post