ETSA Perkukuh Bakat Peralihan Tenaga Negara

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 5 Jun 2026 (The Capital Post) – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup menghadiri Majlis Perasmian The Energy Transition Conference 2026 (ETCon26) yang dianjurkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), hari ini.

Persidangan tersebut turut menampilkan ucaptama khas oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keperluan negara untuk mempercepatkan transformasi sektor tenaga sejajar dengan perkembangan teknologi global dan cabaran semasa berkaitan keselamatan tenaga.

Dalam ucapannya, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata perubahan landskap ekonomi dan krisis tenaga global memerlukan pendekatan baharu yang lebih progresif, termasuk memperluaskan penggunaan sumber tenaga boleh baharu yang mampan serta berdaya tahan bagi menjamin kelangsungan pembangunan negara.

Sempena penganjuran ETCon26, YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup turut melancarkan Energy Transition and Sustainability Academy (ETSA), sebuah inisiatif yang diwujudkan oleh TNB Integrated Learning Solution Sdn Bhd (ILSAS) bagi memperkukuh pembangunan bakat serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam bidang peralihan tenaga dan kelestarian.

-Advertisement-

Beliau juga menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara TNB ILSAS dengan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) serta Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) yang bertujuan mempercepatkan pembangunan modal insan hijau dan memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja negara dalam menghadapi cabaran ekonomi rendah karbon.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YBhg. Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin; Pengarah Urusan TNB ILSAS, Encik Zulkifli bin Salahudin; Pengurusan Kanan MGTC, Encik Noor Azmin Azali Ramli; Ahli Lembaga Pengarah MGTC, Ir. Amin Ramli; serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan.

Penganjuran ETCon26 dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi berkaitan bagi menyokong agenda peralihan tenaga negara ke arah masa depan yang lebih mampan, berdaya tahan dan berorientasikan pembangunan hijau – The Capital Post.