KUALA LUMPUR 5 Jun 2026 (The Capital Post) – Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching hari ini merasmikan Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” sebagai asas memperkukuh profesionalisme dan kepercayaan terhadap industri media negara.
Dalam majlis tersebut, YB Teo Nie Ching turut menyampaikan penghargaan kepada 113 rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam menyokong serta menjayakan penganjuran HAWANA 2026 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 21 Jun di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang.
Menurut beliau, kerjasama erat daripada pelbagai pihak mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa ekosistem media yang berwibawa, beretika dan bertanggungjawab selaras dengan keperluan semasa industri komunikasi negara.
Majlis Kemuncak HAWANA 2026 bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jun dan dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta yang terdiri daripada pengamal media tempatan serta wakil media antarabangsa.
-Advertisement-
Penganjuran HAWANA terus menjadi platform utama dalam mengiktiraf sumbangan pengamal media kepada pembangunan negara, selain mengukuhkan jaringan kerjasama antara organisasi media, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam industri komunikasi.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Datuk Bahria Mohd Tamil; Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Seri Wong Chun Wai; serta Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin – The Capital Post.