100 Warga 7-Eleven Derma Darah di Kuala Lumpur

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 5 Jun 2026 (The Capital Post) – Lebih 100 warga kerja 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad termasuk Co-Chief Executive Officer, En. Wai Keong Wong telah menyertai program derma darah yang dianjurkan di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur sebagai usaha menyokong keperluan bekalan darah negara.

Program yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 4 petang di tingkat 10 pusat beli-belah tersebut menyaksikan penyertaan aktif kakitangan syarikat berkenaan yang tampil sebagai penderma darah bagi membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.

Susulan sambutan positif dan komitmen tinggi yang ditunjukkan, pihak pengurusan 7-Eleven Malaysia memaklumkan bahawa kempen derma darah akan diperluaskan kepada dua kali setahun berbanding pelaksanaan sebelum ini yang hanya diadakan sekali setahun.

Pusat Darah Negara (PDN), Kementerian Kesihatan Malaysia dalam masa sama menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama strategik syarikat tersebut dalam membantu memastikan kestabilan bekalan darah di seluruh negara.

-Advertisement-

PDN turut menyeru orang ramai untuk terus tampil menderma darah di pusat darah statik utama serta kempen bergerak di seluruh negara bagi memastikan keperluan pesakit dapat dipenuhi secara berterusan.

Syarikat dan organisasi yang berminat untuk menganjurkan kempen derma darah turut digalakkan untuk menghubungi pihak PDN melalui talian 03-2613 2658/2658/5613 (waktu pejabat) atau melalui e-mel pro_pdn@moh.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut – The Capital Post