RHB Islamic Salur RM1.5 Juta Perkasa Pendidikan Pelajar B40

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 6 Jun 2026 (The Capital Post) – RHB Islamic Bank Berhad memperkukuh komitmennya dalam memperluaskan akses pendidikan kepada golongan kurang berkemampuan menerusi sumbangan berjumlah RM1.5 juta kepada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) bagi pelaksanaan B40 Education Empowerment Program (BEEP) untuk tempoh 2026 hingga 2028.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Dato’ Adissadikin Ali kepada Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman dalam satu majlis penyerahan cek cura yang berlangsung pada 4 Jun lalu.

Peruntukan berjumlah RM1.5 juta itu menunjukkan peningkatan berbanding RM1 juta yang disalurkan bagi tempoh 2023 hingga 2025, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan bank tersebut dalam menyokong pembangunan pendidikan komuniti B40 di seluruh negara.

Melalui program BEEP, pelbagai inisiatif akan diteruskan termasuk Program Tuisyen Pintar YPM@KKDW RHB Islamic Bank yang memberi sokongan akademik kepada pelajar, selain Seminar Motivasi dan Teknik Menjawab Soalan SPM bagi membantu meningkatkan prestasi peperiksaan.

Program tersebut turut merangkumi inisiatif Selangkah ke Universiti yang memberi pendedahan awal mengenai pendidikan tinggi, serta Skim Anak Angkat YPM–RHB Islamic yang menyediakan sokongan pembangunan pendidikan secara berterusan kepada pelajar terpilih.

Kerjasama strategik antara RHB Islamic dan YPM telah membuka peluang kepada pelajar daripada keluarga B40 untuk mendapatkan bimbingan akademik secara percuma serta pendedahan pendidikan melalui pelbagai program yang dilaksanakan di seluruh negara. Sepanjang tiga tahun lalu, lebih 7,000 pelajar, ibu bapa dan guru telah menerima manfaat daripada pelaksanaan program di bawah BEEP.

-Advertisement-

Menurut Dato’ Adissadikin Ali, kejayaan dan impak positif yang dicapai sepanjang pelaksanaan program tersebut menjadi pemangkin kepada RHB Islamic untuk meneruskan kerjasama bersama YPM, termasuk meneroka peluang memperluaskan inisiatif berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menyokong pembangunan bakat negara.

Inisiatif BEEP turut mencatat kejayaan apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records pada tahun 2024 menerusi Program Selangkah ke Universiti yang merekodkan penyertaan serentak terbesar di Malaysia melibatkan seramai 1,999 peserta.

Sementara itu, Datuk Zulfikri Osman menyifatkan kerjasama antara sektor korporat dan agensi kerajaan sebagai elemen penting dalam memastikan lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berpeluang membina masa depan yang lebih cerah.

Sejak dimulakan pada tahun 2023, kerjasama antara RHB Islamic dan YPM terus memainkan peranan penting dalam memperluas akses pendidikan kepada komuniti asnaf dan keluarga B40, sekali gus membantu melahirkan generasi pelajar yang berdaya saing, berpotensi tinggi dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara. – The Capital Post