Pulau Layang-Layang Diperkukuh Sebagai Benteng Negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU 17 Jun 2026 (The Capital Post) – Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan lawatan kerja ke Pulau Layang-Layang bagi meninjau tahap kesiapsiagaan operasi serta kebajikan warga Stesen LIMA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan negara di Laut China Selatan.

Dalam lawatan tersebut, beliau diberikan taklimat mengenai operasi semasa stesen berkenaan, termasuk kemudahan sokongan yang membantu anggota melaksanakan tugas harian dalam memastikan tahap kesiagaan pertahanan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.

Selain meninjau aspek pertahanan dan logistik, Menteri Pertahanan turut menghadiri Program Restorasi Karang yang dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perikanan Malaysia, TLDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Program tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memelihara ekosistem marin negara serta memastikan kelestarian terumbu karang di kawasan perairan strategik yang mempunyai nilai biodiversiti tinggi.

-Advertisement-

Beliau turut menegaskan bahawa Pulau Layang-Layang akan terus diperkasakan sebagai benteng hadapan negara di Laut China Selatan menerusi peningkatan infrastruktur strategik, kemudahan operasi, sistem logistik dan komunikasi yang lebih cekap.

Usaha pemodenan itu juga akan melibatkan penggunaan teknologi baharu termasuk sistem tanpa pemandu bagi meningkatkan keupayaan pemantauan serta kesedaran domain maritim negara dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan Aris TUDM serta Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim. – The Capital Post